Anwar bukan sekadar kejar pertumbuhan ekonomi, khazanah alam pun dipelihara – Syed Ibrahim

Belanjawan MADANI 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sekadar memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi negara, sebaliknya turut memastikan khazanah alam terus dipelihara demi kesejahteraan rakyat dan generasi akan datang.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, pendekatan kerajaan itu membuktikan bahawa kemajuan sesebuah negara tidak seharusnya diukur berdasarkan kekayaan ekonomi semata-mata, tetapi juga keupayaan memelihara sumber alam untuk masa depan.

Menurut beliau, Belanjawan MADANI 2027 yang berteraskan semangat Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan pembangunan ekonomi bergerak seiring dengan kelestarian alam sekitar.

Beliau menyambut baik peningkatan dana Ecological Fiscal Transfer (EFT) kepada RM270 juta bagi memperkukuh usaha pemuliharaan di peringkat negeri, selain merancakkan ekonomi dan ekopelancongan berasaskan komuniti.

Pada masa sama, peruntukan RM65 juta yang antaranya melibatkan kira-kira 2,500 renjer komuniti termasuk Orang Asli, veteran tentera dan pesara polis memperlihatkan kesungguhan kerajaan melibatkan masyarakat secara langsung dalam melindungi biodiversiti negara.

Pendekatan itu bukan sahaja memberi manfaat kepada alam sekitar, malah membuka peluang kepada masyarakat setempat untuk menjadi sebahagian daripada usaha mempertahankan khazanah negara.

Syed Ibrahim turut merujuk kejayaan pemulangan Harimau Malaya, Yong Choh ke habitat semula jadinya di Tasik Kenyir selepas menjalani pemulihan sebagai antara bukti bahawa usaha pemuliharaan mampu diterjemahkan kepada tindakan nyata.

Selain itu, pembinaan jambatan kanopi oleh Langur Project Penang bagi membolehkan hidupan liar melintas jalan dengan selamat turut menunjukkan kepentingan kerjasama pelbagai pihak dalam menjaga keseimbangan ekosistem.

Dalam aspek ekonomi masa depan, beliau berkata usaha memperkukuh Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN), membangunkan pasaran karbon yang berintegriti serta mengurus unsur nadir bumi (REE) secara mampan merupakan antara agenda strategik yang mampu meningkatkan daya tahan ekonomi negara.

Menurutnya, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan terus berpegang kepada prinsip Amanah, Mizan dan Maslahah dalam memastikan kekayaan sumber asli negara diurus secara bertanggungjawab, seimbang dan memberi manfaat kepada rakyat.

“Kekayaan sebenar sumber asli bukan hanya pada apa yang kita keluarkan daripada bumi, tetapi pada nilai yang mampu kita cipta tanpa mengorbankan masa depannya,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau menegaskan bahawa Belanjawan MADANI 2027 menyediakan asas penting untuk memperkukuh pemuliharaan alam, sementara agenda strategik kementerian terus membina ketahanan ekonomi negara.

Pendekatan tersebut memperlihatkan hala tuju pembangunan Kerajaan MADANI yang mahu memastikan kemajuan ekonomi hari ini tidak dicapai dengan mengorbankan khazanah alam yang sepatutnya diwariskan kepada generasi akan datang.