ARTIKEL | Gaji minimum: Langkah ke arah upah yang lebih bermaruah untuk rakyat

OLEH SHEIKH UMAR BAGHARIB ALI

Dalam Belanjawan MADANI 2027 yang dibentangkan 9 Oktober 2026, antara pengumuman penting yang wajar diberi perhatian ialah kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan. Berkuat kuasa mulai Jun 2027.

Kenaikan gaji minimum – Apa yang berubah?

Melihat angka, kenaikan ini ialah RM300 sebulan atau kira-kira 17.6%. Bagi pekerja yang menerima gaji minimum dan menikmati kadar baharu selama 12 bulan penuh, ini bersamaan tambahan RM3,600 setahun (sebelum potongan berkaitan).

Menurut ucapan rasmi Belanjawan 2027 oleh Anwar Ibrahim, lebih empat juta pekerja dijangka tertakluk pada kadar gaji minimum baharu. 

Maknanya, dasar tersebut ada kesan yang besar terhadap pasaran buruh dan kehidupan jutaan pekerja dan keluarga.

Mengapa kenaikan ini penting?

Kerana pendapatan pekerja mestilah mengambil kira realiti kos kehidupan. 

Harga makanan, sewa rumah, pengangkutan dan keperluan harian telah memberi tekanan kepada isi rumah. Khususnya golongan berpendapatan rendah.

Apabila gaji tak meningkat seiring dengan kos hidup, nilai sebenar pendapatan semakin mengecil. Maknanya, pekerja masih terima gaji setiap bulan, tapi kemampuan untuk menyimpan, beli aset dan meningkatkan taraf hidup menjadi terhad.

Sebab itulah gaji minimum bukan sekadar angka dalam slip gaji. Ia merupakan perlindungan asas supaya pekerja tidak dibayar terlalu rendah.

Namun, persoalan sama ada RM2,000 yang diumum Kerajaan benar-benar mencukupi untuk kehidupan yang bermaruah masih perlu dan boleh dibincangkan secara terbuka.

Antara kepentingan pekerja dan kemampuan perniagaan

Dalam ucapan Belanjawan 2027, Kerajaan menyatakan bahawa bahagian pampasan pekerja kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia masih rendah, iaitu 33.9%. 

Angka ini mengingatkan kita bahawa pertumbuhan ekonomi tidak seharusnya dinilai melalui keuntungan syarikat dan nilai pelaburan semata-mata. Kita kena lihat juga sejauh mana hasil pertumbuhan itu sampai kepada golongan pekerja.

Namun, kenaikan gaji minimum tidak secara automatik menyelesaikan masalah kos sara hidup.

Jika harga barangan dan perkhidmatan turut meningkat, sebahagian manfaat kenaikan gaji tetap akan terhakis. Oleh itu, dasar upah perlu disertai usaha mengawal tekanan harga dan meningkatkan pendapatan sebenar rakyat.

Kerajaan turut umumkan pengecualian daripada pelaksanaan kadar baharu bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang hasil jualan tahunannya bawah RM50 juta. 

Ini bagi memberi ruang kepada perniagaan menyesuaikan model operasi.

Perincian skop pengecualian ini penting kerana ia menentukan pekerja dan majikan yang terlibat dalam pelaksanaan kadar baharu.

Kita perlu akui bahawa sesetengah perniagaan kecil beroperasi dengan margin keuntungan yang terhad. Pelaksanaan kenaikan gaji perlu mengambil kira kemampuan mereka. 

Namun penyelesaian jangka panjang tidak boleh bergantung pada pekerja yang terus dibayar murah demi mengekalkan kos operasi yang rendah.

Sebaliknya, perniagaan perlu dibantu meningkatkan produktiviti melalui teknologi, pendigitalan, latihan kemahiran dan penambahbaikan proses kerja. 

Matlamatnya supaya syarikat dapat berkembang, pekerja menerima upah lebih baik dan ekonomi negara menjadi lebih berdaya saing.

Satu lagi pengumuman penting ialah pembaharuan kerangka pendapatan pekerja dengan kadar gaji permulaan RM2,500 sebulan bagi pekerjaan separa mahir dan graduan. 

Ini merupakan usaha yang perlu diperhalusi supaya kelayakan, kemahiran dan tanggungjawab pekerja dapat diterjemahkan kepada struktur gaji yang lebih munasabah.

Gaji wajar dan keadilan sosial

Kita juga perlu bezakan gaji minimum dengan ‘gaji kehidupan wajar’. Gaji minimum ialah paras upah minimum yang ditetapkan melalui dasar dan peraturan. 

Sedangkan gaji kehidupan wajar mengambil kira keperluan untuk menjalani kehidupan yang lebih munasabah, lebih bermaruah. Kedua-duanya berkaitan, tetapi tidak semestinya sama.

Dalam Belanjawan 2027, Kerajaan menyambut baik komitmen syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk meningkatkan penanda aras gaji kehidupan wajar daripada RM3,100 kepada RM3,400 sebulan. 

Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada sekitar 230,000 pekerja.

Tapi persoalannya, bagaimana amalan membayar upah yang lebih munasabah ini boleh diperluas ke sektor swasta?

Pada pandangan saya, disinilah perbahasan gaji minimum perlu menyentuh soal ‘keadilan sosial’.

Ekonomi yang berkembang sepatutnya membuka peluang kepada rakyat untuk menikmati hasil kemajuan, bukan hanya kepada golongan pemodal. 

Warga pekerja mesti diberi perlindungan yang sewajarnya, sementara perniagaan terus diberi ruang untuk berkembang dan mencipta peluang pekerjaan.

Inilah asas kepada sebuah ekonomi yang lebih seimbang – pasaran perlu kekal produktif (berdaya saing), pada masa sama kepentingan kaum pekerja serta golongan rentan tidak boleh dikesampingkan.

Kemajuan ekonomi dan keadilan sosial bukan dua matlamat yang bercanggah. Menerusi dasar yang baik, kedua-duanya boleh bergerak seiring.

Pelaksanaan juga mesti disertai penguatkuasaan. Pekerja perlu mengetahui hak mereka, majikan mesti memahami kewajipan undang-undang. 

Pihak berkuasa pula perlu memastikan tiada pihak mengambil kesempatan melalui pembayaran gaji bawah kadar yang ditetapkan.

Namun ada satu persoalan penting yang berkaitan – kedudukan pekerja asing! Kerana Malaysia turut merupakan sebuah negara yang terlibat dengan pengambilan pekerja asing.

Berdasarkan statistik Jabatan Imigresen Malaysia, terdapat 2,070,246 pekerja asing aktif setakat Jun 2026.

Dan Perintah Gaji Minimum tahun 2024 telah turut meliputi pekerja bukan warganegara dalam sektor swasta, kecuali kategori tertentu yang dikecualikan.

Oleh itu, pelaksanaan kadar RM2,000 perlu diperjelas melalui peraturan rasmi, termasuk skop pengecualian majikan, supaya tidak timbul kekeliruan tentang pekerja yang dilindungi.

Ukur kejayaan melalui kehidupan rakyat

Kejayaan dasar ini akhirnya perlu diukur melalui hasil sebenar. Adakah pendapatan pekerja meningkat? Adakah kuasa beli mereka bertambah baik? Adakah perniagaan mampu menyesuaikan operasi? Adakah produktiviti negara turut berkembang?

Angka RM2,000 ialah satu langkah dasar. Keberkesanannya bergantung pada pelaksanaan yang adil dan berkesan.

Persoalan sama ada kadar gaji minimum perlu dilaksanakan secara konsisten kepada pekerja tempatan dan pekerja asing di Malaysia dan mengapa Malaysia perlu beralih daripada model buruh murah kepada model ekonomi ‘upah yang lebih baik’ untuk pekerja masih perlu diperhalusi.

Hal ini sangat penting. Sekurang-kurangnya demi mengatasi isu mengekalkan bakat tempatan di tanah air sendiri sekaligus mengurangkan penghijrahan tenaga mahir ke negara lain.

Kemajuan sesebuah negara bukan sekadar diukur melalui pertumbuhan ekonomi. Tetapi juga menerusi kemampuan rakyat yang bekerja keras untuk menikmati kehidupan yang lebih baik dan bermaruah.