Tabung Haji kembali kukuh! Reformasi MADANI pulihkan keyakinan pendeposit

Tabung Haji (TH) mencatat pendapatan pelaburan tertinggi RM4.64 bilion pada 2025, dengan agihan keuntungan 3.5 peratus berjumlah RM3.22 bilion kepada lebih 9.7 juta pendeposit, sekali gus menunjukkan perkembangan positif usaha memulihkan kedudukan kewangan institusi itu.

Ketua Wanita Pakatan Harapan merangkap Ketua Wanita AMANAH, Datuk Aiman Athirah Al Jundi, berkata Kerajaan MADANI mengutamakan kepentingan pendeposit dan pemulihan amanah umat berbanding mengejar keuntungan politik jangka pendek dalam menangani isu berkaitan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH.

Menurut beliau, pendekatan berhati-hati diperlukan bagi memastikan kestabilan institusi yang menguruskan simpanan lebih 10 juta pendeposit itu tidak terjejas sehingga mencetuskan kebimbangan awam.

“Tabung Haji bukan sekadar sebuah organisasi biasa, ia mengurus amanah lebih 10 juta pendeposit dan berkait secara langsung dengan hasrat umat Islam menunaikan Rukun Islam kelima,” katanya. 

Aiman Athirah berkata kerajaan memilih untuk memulihkan keyakinan pendeposit, memperkukuh kedudukan kewangan, menambah baik tadbir urus dan menstabilkan operasi TH sebelum laporan RCI didedahkan kepada umum.

Beliau turut menyambut baik penjelasan bahawa lebih 70 peratus syor RCI berkaitan pengurusan dan operasi TH telah dilaksanakan, selain menyokong cadangan pindaan Akta Tabung Haji 1995 bagi memperkukuh tadbir urus serta mengehadkan kuasa menteri dalam pengurusan institusi itu.

Dari segi prestasi kewangan, TH mengumumkan agihan keuntungan 3.5 peratus bagi tahun kewangan 2025, meningkat berbanding 3.25 peratus pada 2024. Agihan berjumlah RM3.22 bilion itu merupakan kadar tertinggi dalam tempoh lapan tahun.

TH turut mencatat pendapatan pelaburan RM4.64 bilion pada 2025, berbanding RM4.56 bilion pada tahun sebelumnya, manakala aset pelaburannya meningkat daripada RM95.06 bilion kepada RM96.37 bilion. 

Kedudukan kewangan institusi itu juga semakin kukuh apabila jumlah aset mencecah RM98.58 bilion berbanding liabiliti RM95.63 bilion pada akhir 2025, dengan dana simpanan pendeposit meningkat daripada RM75.4 bilion pada 2018 kepada RM93.4 bilion pada 2025. 

Perkembangan itu memperlihatkan hasil usaha penstrukturan semula dan pembaharuan yang dilaksanakan sejak 2018. Peningkatan kadar agihan keuntungan turut memberi manfaat langsung kepada pendeposit yang menyimpan wang bagi tujuan menunaikan ibadah haji.

Aiman Athirah turut menegaskan kepentingan audit forensik terhadap 14 pelaburan bermasalah supaya setiap persoalan dapat dijawab secara menyeluruh dan kelemahan terdahulu dikenal pasti dengan jelas.

Isu itu penting kerana kerajaan sebelum ini mendedahkan kerugian hampir RM13 bilion daripada 14 pelaburan bermasalah, termasuk tujuh pelaburan yang mengalami kerugian 100 peratus daripada nilai pelaburan. Oleh itu, pembaharuan tadbir urus dan pengawasan pelaburan perlu diteruskan agar masalah sama tidak berulang. 

Menurut Aiman Athirah, kos haji juga berjaya dikekalkan pada RM33,000 bagi tiga musim berturut-turut meskipun kos pengurusan meningkat, manakala profesionalisme dan kualiti pengurusan TH terus diperkasakan.

Bagi pendeposit, pencapaian kewangan dan peningkatan agihan keuntungan merupakan petunjuk positif. Namun, keyakinan jangka panjang akan lebih kukuh apabila prestasi itu disokong ketelusan, pengurusan risiko yang berkesan dan tindakan tegas terhadap sebarang kelemahan.

Dengan kedudukan aset yang melebihi liabiliti, pendapatan pelaburan yang meningkat dan agihan keuntungan lebih tinggi, TH memperlihatkan kemajuan dalam proses pemulihan. Cabaran seterusnya ialah memastikan pembaharuan berterusan supaya simpanan umat Islam terus diurus secara berhemah dan kepentingan pendeposit kekal menjadi keutamaan.

BACA JUGA Mufti Wilayah perjelas isu cuci kuil, bezakan antara berbuat baik dengan membantu urusan agama lain