Tidak dabik dada dengan kejayaan F1, Taufik Johari akui masih banyak perlu dibaiki

Menteri Belia dan Sukan, Taufik Johari tidak berselindung mengenai kelemahan penganjuran F1 Gulf Air Bahrain GP in Malaysia 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), meskipun acara itu dilaporkan berjaya menarik kira-kira 261,000 penonton sepanjang hujung minggu perlumbaan.

Sebaliknya, beliau secara terbuka mengakui masih terdapat beberapa aspek yang perlu diperbaiki, khususnya melibatkan pengangkutan awam, aliran trafik dan keselesaan penonton.

Pengakuan itu dibuat ketika beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Dungun serta soalan tambahan daripada Ahli Parlimen Dungun dan Bangi pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, pagi ini.

Menurut Taufik, kejayaan penganjuran acara berkenaan amat bermakna kepada negara, lebih-lebih lagi apabila pelbagai kementerian, agensi kerajaan dan pihak berkepentingan berjaya bekerjasama dalam tempoh persiapan yang singkat.

Beliau memaklumkan hampir separuh daripada pemegang tiket merupakan pengunjung dari luar negara, sekali gus menunjukkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi penganjuran acara sukan permotoran antarabangsa.

Malah, limpahan ekonomi turut dinikmati usahawan kecil tempatan apabila peniaga di Litar Rasa MADANI merekodkan jualan melebihi RM550,000, selain sektor perhotelan sekitar Lembah Klang turut menerima manfaat.

Bagaimanapun, Taufik tidak menjadikan angka kehadiran dan kejayaan ekonomi itu sebagai alasan untuk mengetepikan kekurangan yang berlaku sepanjang penganjuran.

Beliau menegaskan bahawa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyedari masih terdapat ruang penambahbaikan dan pengalaman tersebut akan dijadikan panduan penting bagi memastikan penganjuran acara akan datang lebih teratur serta selesa kepada pengunjung.

Sikap terbuka mengakui kelemahan itu memperlihatkan pendekatan pentadbiran yang tidak sekadar meraikan kejayaan, sebaliknya turut memberi perhatian kepada pengalaman sebenar rakyat yang hadir menyaksikan acara berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Taufik turut memaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memulakan perbincangan awal dengan pihak Formula 1 berhubung kemungkinan perlumbaan berprestij itu kembali secara tetap ke Malaysia.

Namun, beliau menjelaskan kerajaan tidak akan membuat keputusan secara terburu-buru, sebaliknya menilai dengan teliti aspek kos penganjuran, pulangan ekonomi serta manfaat jangka panjang kepada rakyat.

Beliau turut berkongsi aspirasi untuk melihat pelumba Malaysia sendiri beraksi di pentas Formula 1 pada masa hadapan, dengan usaha pembangunan bakat akar umbi dan kerjasama industri akan terus diperkukuh.

Pada masa sama, Taufik mengajak rakyat memenuhi Litar Sepang bagi menyaksikan MotoGP pada 30 Oktober hingga 1 November ini, sekali gus memberikan sokongan kepada pelumba negara, Hakim Danish, Qabil Irfan dan Qayyim Razin.

Pengakuan terbuka Taufik mengenai kelemahan penganjuran F1 itu membawa mesej bahawa kejayaan sesuatu acara bertaraf dunia bukan hanya diukur melalui jumlah penonton atau pulangan ekonomi, tetapi juga keupayaan kerajaan mengenal pasti kekurangan dan memperbaikinya demi kepentingan rakyat.