Gara-gara gelaran kehormatan tak diiktiraf, penceramah pro Pas kini diperintah bela diri

Pendakwah bebas yang pernah tampil dalam program Pas, Ahmad Husam Muhamad Baderudin atau lebih dikenali sebagai Ustaz Husam, kini diperintahkan membela diri oleh Mahkamah Sesyen Kangar atas pertuduhan menerima gelaran kehormatan yang tidak diiktiraf.

Keputusan itu dibuat Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid hari ini selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap penceramah berusia 36 tahun berkenaan di akhir kes pendakwaan.

Ahmad Husam yang pernah muncul dalam program anjuran Pas, termasuk mesyuarat Pas Kawasan Jerlun pada 2020, sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menerima gelaran dan kehormatan tidak diiktiraf daripada Yang di-Pertua Negeri Melaka di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis, kira-kira jam 11.30 pagi pada 4 Mei 2023.

Susulan keputusan mahkamah hari ini, Ahmad Husam diberikan tiga pilihan iaitu memberi keterangan bersumpah di kandang saksi dan boleh disoal balas pihak pendakwaan, memberi keterangan tidak bersumpah dari kandang tertuduh tanpa disoal balas atau memilih untuk berdiam diri.

Lima tahun penjara

Bagaimanapun, penceramah yang pernah menunjukkan jari tengah dengan tangan kanan dan kiri semasa memberi kuliah dalam masjid itu memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi bagi mempertahankan dirinya terhadap pertuduhan tersebut.

Peguam belanya, Datuk N Sivananthan turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan akan memanggil empat saksi untuk memberikan keterangan sepanjang prosiding pembelaan.

Mahkamah kemudian menetapkan 17 dan 18 Disember depan sebagai tarikh perbicaraan membela diri, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izham Ali.

Ahmad Husam didakwa mengikut Seksyen 4A(3) Enakmen Lambang-Lambang dan Nama-Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Betul) (Pindaan) 2016 (Enakmen A21), dibaca bersama Seksyen 17 Akta Kesalahan Berhubungan Dengan Anugerah 2017 (Akta 787).

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 4A(6) enakmen berkenaan.

Bagaimanapun, perintah membela diri itu bukan bermaksud Ahmad Husam telah didapati bersalah, sebaliknya mahkamah memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah mengemukakan bukti yang mencukupi untuk memerlukan beliau menjawab pertuduhan tersebut.

Keputusan sama ada beliau bersalah atau sebaliknya hanya akan dibuat selepas mahkamah mendengar dan menilai keseluruhan keterangan, termasuk pembelaan yang bakal dikemukakan pada Disember ini.

BACA JUGA Mufti Wilayah perjelas isu cuci kuil, bezakan antara berbuat baik dengan membantu urusan agama lain