Umno Terengganu ikrar mahu rampas semula kerusi DUN Jabi daripada Pas

Ketika Umno dan Pas sedang mengintai peluang kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang, kenyataan seorang pemimpin Umno Terengganu yang berikrar merampas semula DUN Jabi daripada Pas menimbulkan persoalan mengenai hala tuju hubungan politik kedua-dua parti itu.

Dalam satu video dimuat naik Facebook Gema Biru Terengganu, Umno negeri menyatakan kepercayaan terhadap kepimpinan di kawasan berkenaan untuk mengembalikan kerusi itu kepada Barisan Nasional (BN).

“Dan hari ini kita start di Jabi. Saya yakin dan percaya dengan kepimpinan DUN Jabi. Kita akan berjaya merampas balik DUN Jabi tanpa ragu-ragu dan tanpa rasa ada sekatan yang susah. Boleh?,” katanya dalam satu perkongsian video Facebook Gema Biru Terengganu baru-baru ini.

Ketika ini, kerusi DUN Jabi disandang oleh Datuk Dr Azman Ibrahim daripada Pas yang memenangi kawasan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu 2023 dengan majoriti 4,676 undi.

Dalam PRN berkenaan, Azman memperoleh 11,523 undi, manakala calon BN, Rosdi Zakaria, mendapat 6,847 undi.

Lebih menarik, Umno bukan sekadar menyasarkan kemenangan di Jabi, malah secara terbuka menyuarakan keyakinan untuk menamatkan penguasaan Pas di kawasan berkenaan. 

Situasi itu mengundang persoalan tentang sejauh mana kerjasama politik antara kedua-dua parti mampu bertahan apabila berdepan persaingan merebut kerusi.