Agong titah jangan jadikan media sosial pentas hina, caci orang
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan peringatan bahawa setiap kebebasan yang diperoleh datang bersama dengan tanggungjawab, justeru rakyat perlu menggunakan media sosial dengan penuh adab serta rasa hormat kepada orang lain.
Seri Paduka Baginda yang juga Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) bertitah demikian susulan terdapat sesetengah pihak yang menggunakan media sosial sebagai tempat untuk menghasut, menimbulkan kebencian dan memecahbelahkan masyarakat.
“Jangan jadikan media sosial sebagai pentas untuk menghina, memaki, mencaci dan menjatuhkan maruah seseorang.
“Berbeza pandangan bukan alasan untuk bermusuhan. Kita boleh tidak bersetuju, tetapi nyatakan pandangan dengan bahasa yang baik dan beradab.
“Jika hendak mengkritik, sampaikan secara membina. Jika hendak menegur, maka tegurlah dengan penuh berhemah,” titah Seri Paduka Baginda.
Sultan Ibrahim bertitah demikian ketika menyempurnakan Istiadat Konvokesyen (UiTM) ke-105 di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam, di sini hari ini.