MB N9 dikritik tangguh sidang DUN tanpa maklum awal, ‘2 bulan sepatutnya cukup kalau betul buat kerja’
PKR Negeri Sembilan menyatakan rasa kesal terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim susulan tindakan menangguhkan sidang DUN tanpa pemakluman sewajarnya kepada ADUN pembangkang.
Sidang DUN dijadualkan berlangsung pada 16 Oktober iaitu semalam.
Pengarah Komunikasi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Negeri Sembilan, Mohd Shariman Che Deris berkata, penangguhan itu mengecewakan kerana sidang DUN sepatutnya menjadi ruang untuk wakil rakyat membangkitkan isu rakyat dan membahaskannya.
Menurutnya, seramai 11 ADUN Pakatan Harapan (PH) yang diketuai Ketua Pembangkang Negeri Sembilan, J. Arul Kumar, telah bersedia dengan 10 persoalan untuk dibahaskan pada persidangan berkenaan.
Beliau berkata, alasan kekangan masa yang diberikan menggambarkan ketidakupayaan Menteri Besar Negeri Sembilan dan ADUN-ADUN kerajaan dalam mengurus masa dan sumber.
Sedangkan katanya, tempoh dua bulan sepatutnya mencukupi untuk membuat persediaan sekiranya mereka benar-benar bekerja.
“Malangnya sidang DUN ini tidak diambil serius oleh MB dan ADUN kerajaan dengan semudah-mudahnya ditangguhkan tanpa pemberitahuan awal. Ini sikap yang tidak professional.
“Kegagalan mengadakan sidang DUN tanpa notis awal adalah sangat mengecewakan. Ia menyentuh soal penghormatan terhadap institusi demokrasi, masa wakil rakyat serta hak rakyat untuk diwakili melalui proses perbahasan dan semak imbang,” kata beliau dalam kenyataan pagi ini.
Dalam kenyataan sama, Mohd Shariman turut membangkitkan isu komunikasi Ismail Lasim dengan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, susulan video teguran Tuanku Muhriz terhadap Ismail semalam.
Beliau berkata, perkara yang berlaku itu memerlukan penjelasan sewajarnya daripada Menteri Besar, terutama berhubung urusan pentadbiran yang melibatkan institusi diraja negeri.
Katanya, tindakan-tindakan yang dizahirkan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan ini menampakkan kegagalan beliau dalam berurusan dengan Yang di-Pertuan Besar
Negeri Sembilan.
Sehubungan itu, Mohd Shariman menggesa kerajaan negeri memberikan penjelasan rasmi mengenai penangguhan sidang DUN serta insiden yang tular, berdasarkan fakta dan konteks sebenar.
Beliau turut menuntut agar Menteri Besar dan ADUN kerajaan negeri menunjukkan komitmen terhadap ketelusan, akauntabiliti serta penghormatan terhadap institusi demokrasi dan diraja.