Nik Nazmi akui ditahan JAIS, mohon maaf kepada keluarga dan parti

Nik Nazmi Nik Ahmad mengesahkan beliau adalah salah seorang daripada dua individu bukan mahram yang ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kerana berdua-duaan di dalam sebuah tempat tertutup di Petaling Jaya pada 15 Oktober lalu.

Dalam kenyataan di Instagram, beliau berkata pada awalnya perbincangan dilakukan bersama beberapa rakan di studio di Brickfields, Kuala Lumpur. 

Mereka kemudian berpindah ke Petaling Jaya untuk meneliti bahan berkaitan projek yang sedang dibincangkan.

Beliau mengakui bahawa ketika pegawai JAIS tiba, hanya beliau dan wanita tersebut berada di situ, dan menyifatkannya sebagai satu kesalahan. 

Namun beliau menegaskan, sebagaimana dimaklumkan kepada pegawai JAIS, tiada perbuatan sumbang yang berlaku.

Nik Nazmi memohon maaf kepada isteri, keluarga dan semua pihak yang terkesan atas apa yang disebutnya sebagai kesilapan pertimbangan. 

Beliau berjanji akan memberikan kerjasama penuh dalam proses perundangan.

Beliau turut memohon maaf kepada parti BERSAMA serta ahli dan penyokongnya, mengakui isu ini menjejaskan parti, dan menyatakan kesediaan menerima apa jua keputusan parti.

Beliau menyeru semua pihak menghormati proses undang-undang dan tidak menjalankan “perbicaraan media”.