Pemimpin Umno jangan membisu, kena jelaskan adakah tindakan Ismail Lasim direstui?

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mempersoalkan pendirian Umno berhubung isu kemurkaan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir terhadap Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim.

Beliau mempersoalkan sama ada pimpinan Umno mengetahui dan merestui surat yang didakwa dihantar Ismail kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, yang menyatakan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) adalah sah dan Tuanku Muhriz bukan lagi Yang di-Pertuan Besar.

Mujahid berkata Umno perlu memberikan penjelasan dan tidak boleh sekadar berdiam diri apabila pemimpin daripada parti itu dikaitkan dengan tindakan yang menyentuh kedudukan institusi Raja Melayu.

“Apabila seorang Raja secara terbuka mempersoalkan surat yang didakwa dihantar oleh Menteri Besar kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja yang menyatakan baginda bukan lagi Yang di-Pertuan Besar, ini jelas menunjukkan keruntuhan kepercayaan yang amat serius antara Istana dengan pentadbiran negeri.

“Kandungan penuh surat tersebut mesti didedahkan supaya rakyat mengetahui perkara sebenar, Umno tidak boleh sekadar menunggu dan berdiam diri. 

“Apakah Umno merestui tindakan Menteri Besarnya?,” soal beliau dalam kenyataan hari ini.

Mujahid turut membangkitkan pendirian Umno yang selama ini lantang mendakwa dirinya sebagai pembela Melayu, Islam dan Raja-Raja Melayu, namun membisu apabila membabitkan isu daripada pemimpinnya sendiri.

Mujahid juga mempersoalkan sama ada kesetiaan kepada Raja hanya dijadikan slogan untuk menyerang lawan politik atau turut terpakai apabila tindakan yang dipertikaikan dilakukan oleh pemimpin parti itu sendiri.

Sehubungan itu, beliau menggesa Umno menjelaskan sama ada parti berkenaan menyokong pendirian Exco yang pernah mengiktiraf proklamasi penurunan Tuanku Muhriz serta mengapa Ismail berubah daripada menzahirkan sokongan terhadap Tuanku Muhriz kepada mengesahkan keputusan Exco yang mempertikaikan kedudukan baginda.

“Ismail Lasim mesti segera mendedahkan dan menarik balik surat tersebut sekiranya benar kandungannya seperti yang dititahkan oleh Tuanku Muhriz. 

“Beliau l wajib memohon ampun kepada baginda serta memohon maaf kepada rakyat Negeri Sembilan dan seluruh rakyat Malaysia kerana sikap biadabnya terhadap institusi Raja Melayu.

“Umno pula mesti mengambil tindakan disiplin yang tegas. Jika Ismail Lasim tidak mampu memberikan penjelasan dan memulihkan hubungan dengan Istana, beliau tidak lagi mempunyai kewibawaan moral untuk meneruskan tugas sebagai Menteri Besar dan wajar meletakkan jawatan,” kata beliau lagi.

Mujahid menegaskan isu berkenaan bukan soal mempolitikkan institusi beraja, sebaliknya berkaitan keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan martabat institusi Raja.

Mujahid menegaskan Umno kini perlu menentukan sama ada mahu mempertahankan institusi Raja atau mempertahankan pemimpinnya sendiri.