UM sahkan tiada tindakan tatatertib terhadap mahasiswanya, tegaskan pandangan bukan ancaman
Di tengah-tengah tekanan terhadap mahasiswa Universiti Malaysia (UM) susulan kritikannya terhadap isu rasuah, pengurusan tertinggi universiti itu menegaskan tiada sebarang tindakan tatatertib akan diambil terhadap mahasiswanya.
Naib Canselor UM, Datuk Seri Prof Dr Noor Azuan Abu Osman memberi jaminan bahawa UM sentiasa menghormati hak mahasiswa untuk bertanya dan menyuarakan pandangan mereka.
Katanya, platform seperti iFuture yang diwujudkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menjadi ruang penting untuk mahasiswa berdialog secara langsung dengan kepemimpinan universiti.
“Saya mengambil maklum mengenai perhatian dan pelbagai reaksi yang timbul susulan perkara itu
“Saya ingin menjelaskan tiada sebarang tindakan tatatertib diambil terhadap mahasiswa berkenaan.
“Sehubungan itu, dakwaan yang tersebar mengenai perkara ini adalah tidak benar,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, perbezaan pandangan tidak seharusnya dilihat sebagai suatu ancaman, sebaliknya sebahagian daripada budaya intelektual yang perlu terus dipupuk
“Kita mungkin tidak sentiasa bersetuju dalam semua perkara, namun mahasiswa perlu diberikan ruang untuk bersuara dan didengari,” katanya.
Terdahulu tular seorang wakil mahasiswa yang bertanya tentang isu rasuah dan memetik kes 1MDB, dengan mengatakan tindakan orang ramai menderma untuk membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membayar denda RM50 juta sebagai “perkara paling bodoh”.
Mahasiswa wanita itu meluahkan kebimbangan terhadap gejala rasuah dan mempersoalkan bagaimana pemimpin masa depan seharusnya mengambil pendirian dalam isu berkenaan.