Video Tuanku Muhriz murka tular, naratif tersusun cuba bela Ismail Lasim mula dimainkan?

Ketika Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menzahirkan kemurkaan terhadap Datuk Seri Ismail Lasim, muncul pula naratif di media sosial yang cuba meraih simpati untuk Menteri Besar Negeri Sembilan itu.

Beberapa hantaran di media sosial dilihat disiarkan dengan mesej yang serupa, dengan menekankan bagaimana reaksi “tenang” Ismail ketika berhadapan dengan teguran Tuanku Muhriz.

Mesej tersusun itu antara lain turut membangkitkan soal emosi seorang raja dan adab di dalam masjid.

Ia jelas memperlihatkan usaha untuk mengalih perhatian rakyat dari isu sebenar yang berpunca dari kepimpinan Umno Negeri Sembilan terutama Menteri Besarnya sendiri.

Pengkritik melihat isu ini tidak seharusnya dipisahkan daripada punca utama tercetusnya kemelut institusi diraja Negeri Sembilan, iaitu tindakan Ismail yang secara jelas cuba menurunkan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Dalam konteks itu, perhatian tidak sepatutnya terhenti pada persoalan sama ada Tuanku Muhriz meninggikan suara atau sama ada Ismail berjaya mengekalkan ketenangan ketika ditegur. 

Sebaliknya, perkara yang lebih utama ialah latar belakang pertikaian tersebut, termasuk tindakan dan pendirian pihak-pihak yang terlibat.

Bagi sebahagian rakyat, rakaman Tuanku Muhriz bertitah dengan tegas di hadapan Ismail ditafsirkan sebagai gambaran ketegangan yang semakin memuncak antara institusi diraja dengan kepimpinan Umno. 

Nampaknya ketegangan hubungan ini bukan lagi sekadar di balik pintu tertutup, sebaliknya kini disaksikan sendiri oleh rakyat.

Malah, Ismail kini dilihat berdepan kemelut tersebut tanpa pembelaan terbuka daripada pimpinan tertinggi partinya.