Lebih 400,000 peluang kerja ditawarkan melalui MYFutureJobs, gaji cecah RM17,000 – Ramanan

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Program MADANI Kita disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Sungai Buloh. Turut hadir YB Muhammad Izuan Ahamad Kasim ADUN Kota Damansara di Dewan Serbaguna Seksyen 7, Kota Damansara, Selangor. 17hb Oktober 2026 (Sabtu)

Lebih 400,000 peluang pekerjaan dengan tawaran gaji sehingga RM17,000 sebulan tersedia menerusi platform MYFutureJobs kendalian Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, platform itu menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi membantu pencari kerja mendapatkan pekerjaan yang sepadan dengan kemahiran dan kelayakan mereka.

Menurutnya, usaha kerajaan bukan sekadar memastikan rakyat mendapat pekerjaan, tetapi turut memberi tumpuan kepada peluang kerjaya berkualiti dengan pendapatan lebih baik.

“Matlamat kita bukan sekadar membantu rakyat mendapatkan pekerjaan, tetapi memastikan mereka mempunyai peluang membina kerjaya yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program MADANI Kita di Dewan Serbaguna Seksyen 7, Kota Damansara.

Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata, menerusi National Graduate Career Fair 2026 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), lebih 1,400 pencari kerja berjaya memperoleh pekerjaan dengan tawaran gaji sehingga RM8,000.

Beliau turut memaklumkan satu program penempatan pekerjaan di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) mencatat kadar penempatan 98 peratus, manakala tahap kepuasan majikan mencapai 97.2 peratus.

Dalam usaha memperkasa kemahiran digital, Ramanan berkata, KESUMA melalui TalentCorp turut melaksanakan program Jelajah AI Mahir yang menawarkan 22,000 peluang latihan kemahiran AI.

Katanya, kira-kira 700 peserta termasuk anak muda dan suri rumah telah menyertai program berkenaan di Sungai Buloh.

Malah, beliau berkongsi contoh remaja berusia 16 tahun yang mampu menjana pendapatan sekitar RM400 hingga RM600 melalui platform digital selepas mempelajari kemahiran berkaitan.
“Kerajaan boleh merangka dan menawarkan pelbagai peluang, tetapi kalau rakyat tidak mengambilnya, kita sendiri yang akan rugi,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan rakyat memanfaatkan platform dan program latihan KESUMA bagi meningkatkan kemahiran, mendapatkan pekerjaan lebih baik serta mengembangkan perniagaan.

Ramanan berkata, penganjuran Program MADANI Kita juga membolehkan rakyat mendapatkan maklumat secara langsung daripada kementerian dan agensi kerajaan, selain menyampaikan masalah serta keperluan setempat.