PRU DUN Sarawak makin dekat? PKR rombak kepimpinan negeri, Mahmud Epah dilantik pengerusi

PKR menyusun semula kepimpinan partinya di Sarawak dengan menamakan Mahmud Epah sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sarawak ketika parti itu memperhebat persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum DUN Sarawak ke-13.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Pimpinan Cabang PKR Sarawak bersama Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 17 Oktober.

Menurutnya, mesyuarat berkenaan menetapkan beberapa langkah penting bagi memperkukuh persiapan parti menghadapi pilihan raya negeri yang bakal diadakan dalam masa terdekat.

“Tumpuan utama adalah kepada strategi dan gerak kerja pilihan raya sebagai rangka persiapan menyeluruh,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Nazib Johari akan terus memainkan peranan memperkukuh hubungan antara kepimpinan pusat dengan Sabah dan Sarawak.

Fuziah berkata, peranan itu selaras dengan usaha parti memperkukuh jaringan politik di kedua-dua wilayah berkenaan.

Penstrukturan semula kepimpinan negeri itu dilihat sebagai sebahagian daripada persediaan PKR untuk memperkemas jentera parti menjelang pilihan raya DUN Sarawak.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak memperincikan tarikh pilihan raya berkenaan atau sasaran kerusi yang ingin ditandingi parti tersebut.

BACA JUGA Pelaburan asing Terengganu cuma RM51.5 juta! 20 kali lebih rendah daripada Pahang