20 tahun tragedi Altantuya, Al Jazeera terbit dokumentari baharu bongkar persoalan belum terjawab
Dua dekad selepas pembunuhan kejam Altantuya Shaariibuu, stesen penyiaran antarabangsa Al Jazeera kembali membongkar misteri tragedi itu menerusi dokumentari baharu yang diterbitkan kelmarin.
Dokumentari berdurasi 48 minit berjudul Murder in Malaysia: Justice for Altantuya Shaariibuu itu meneliti persoalan yang masih belum terjawab iaitu siapa sebenarnya mengarahkan pembunuhan wanita Mongolia tersebut pada Oktober 2006.
Menerusi program penyiasatan 101 East, Al Jazeera turut mengupas dakwaan campur tangan dalam perbicaraan kes berkenaan serta kemungkinan wujudnya pihak berkepentingan yang dilindungi.
Pasukan dokumentari termasuk wartawan Al Jazeera, Mary Ann Jolley menjalankan siasatan di Malaysia, Mongolia, Perancis dan Australia bagi menjejaki maklumat serta individu yang mempunyai kaitan dengan tragedi berprofil tinggi tersebut.
Antara perkara yang mendapat perhatian ialah dakwaan hubungan Altantuya dengan urusan pembelian kapal selam Scorpene dari Perancis, selain peranan individu tertentu yang mempunyai hubungan dengan pemimpin politik ketika itu.
Dokumentari tersebut turut meneliti dakwaan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar, bahawa pembunuhan Altantuya dilakukan atas arahan pihak lain.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang namanya dikaitkan melalui dakwaan berkenaan, berulang kali menafikan sebarang pembabitan dalam pembunuhan tersebut.
Turut dimuatkan kembali dalam dokumentari itu adalah kenyataan Altantuya yang dipetik dari laporan polis yang dibuat sendiri oleh mendiang pada 19 Oktober 2006 jam 1.08 tengah hari di Balai Polis Tun H.S. Lee, Kuala Lumpur.
“Saya hanyalah seorang gadis biasa yang cuba bertemu dengan kekasih saya yang telah berbohong kepada saya, yang menjanjikan pelbagai perkara, tetapi kini mahu memasukkan saya ke dalam penjara atau membunuh saya,” katanya beberapa jam sebelum dia hilang dan dibunuh.
Maklum balas
Dokumentari itu turut mendedahkan bahawa pihak polis dan Peguam Negara Malaysia tidak memberikan maklum balas terhadap permintaan maklumat berhubung siasatan kes pembunuhan Altantuya.
“Pihak polis Malaysia dan Peguam Negara tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan maklumat daripada program 101 East berhubung siasatan yang dijalankan,” dakwanya.
Altantuya, 28, dibunuh di kawasan hutan berhampiran Shah Alam pada Oktober 2006. Mayatnya kemudian diletupkan menggunakan bahan letupan bagi menghapuskan kesan pembunuhan.
Azilah dan Sirul disabitkan atas kesalahan membunuh wanita itu, manakala Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan mereka pada 2015.
Bagaimanapun, persoalan mengenai motif sebenar pembunuhan dan kemungkinan wujudnya individu lain yang memberi arahan terus menjadi perhatian.
Pada 2019, Azilah mengemukakan akuan berkanun yang mendakwa beliau menerima arahan daripada Najib untuk membunuh Altantuya.
Dakwaan tersebut tidak boleh dianggap sebagai dapatan mahkamah terhadap Najib. Bekas Perdana Menteri itu turut menafikan tuduhan berkenaan.
Sementara itu, Sirul yang berada di Australia pernah mendakwa menerima bayaran supaya tidak mendedahkan maklumat tertentu mengenai kes pembunuhan tersebut.
Dakwaan itu didedahkan menerusi wawancara eksklusif bersama Mary Ann Jolley pada November 2023.
BACA JUGA Nasib Rosmah kembali jadi perhatian, rayuan kes rasuah solar RM1.25 bilion bersambung minggu ini