Dikeji, dihina, diremehkan – Pesan al-Quran: Jangan balas keburukan dengan keburukan

Dalam menghadapi kecaman, fitnah dan sikap segelintir pihak yang gemar meremehkan usaha orang lain, al-Quran mengingatkan umat Islam supaya tidak mudah terjebak dalam pertengkaran, sebaliknya berpegang pada prinsip kerendahan hati, keyakinan dan kesantunan.

Itu peringatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada perjumpaan bersama-sama warga kementerian bersempena dengan Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di Dewan Auditorium, Aras 1, Blok Tengah, Kompleks Kementerian Kewangan, Putrajaya, hari ini.

Menerusi ucapannya, Anwar mengupas pengajaran daripada Surah al-Furqan, ayat 63, yang menggambarkan sifat hamba-hamba Allah Yang Maha Pengasih, iaitu mereka yang berjalan di bumi dengan rendah hati dan menghadapi kata-kata orang jahil dengan ucapan yang baik.

Ayat itu bermaksud: “Dan hamba-hamba Tuhan Yang Maha Pemurah itu ialah mereka yang berjalan di bumi dengan rendah hati dan apabila orang jahil menyapa mereka dengan kata-kata yang tidak baik, mereka menjawab dengan kata-kata yang baik.”

Menurut Anwar, pengajaran pertama daripada ayat berkenaan ialah manusia perlu menyedari kedudukannya sebagai hamba Allah, tanpa mengira pangkat, kepandaian, kekayaan atau kesusahan yang dihadapi dalam kehidupan.

“Apapun kedudukan kamu, hebat, cekal, pandai, susah, kamu itu hina dan hamba hanya kepada Tuhan,” katanya ketika menjelaskan bahawa manusia tidak seharusnya berasa lebih tinggi daripada orang lain kerana kelebihan yang dimiliki.

Beliau berkata kesedaran sebagai hamba Allah sepatutnya membebaskan seseorang daripada sikap terlalu tunduk kepada penguasa, wang, pangkat dan darjat, kerana segala kelebihan duniawi tidak seharusnya mengatasi prinsip serta tanggungjawab kepada Tuhan.

Anwar turut menjelaskan bahawa sifat rendah hati bukan bermaksud seseorang perlu berasa lemah atau berhenti berusaha. 

Sebaliknya, manusia perlu memiliki keyakinan untuk melaksanakan tanggungjawab sebaik mungkin, sambil menyedari bahawa dirinya tidak sempurna dan sentiasa mempunyai ruang untuk memperbaiki diri.

Bagaimanapun, usaha yang dilakukan dengan ikhlas tidak semestinya diterima semua pihak. 

Menurut beliau, ada orang yang mengkritik kerana tidak memahami sesuatu perkara, manakala sebahagian yang lain mungkin bertindak atas rasa cemburu, dengki atau ketidaksetujuan.

Dalam keadaan sedemikian, beliau mengingatkan bahawa seseorang tidak seharusnya membalas kritikan dengan makian, fitnah atau permusuhan. Sebaliknya, pengajaran daripada ayat berkenaan ialah mengekalkan kesantunan dan tidak membiarkan provokasi orang lain menguasai tindak-tanduk diri.

Anwar kemudian memberikan penekanan kepada maksud ayat yang mengajar umat Islam menjawab dengan kata-kata yang baik apabila berhadapan dengan orang jahil. 

Menurut beliau, prinsip itu mudah difahami tetapi sukar dilaksanakan kerana manusia mempunyai emosi dan boleh berasa marah apabila usaha mereka dipandang remeh.

Mengakui bahawa dirinya juga berhadapan dengan keadaan sedemikian, beliau berkata ada kalanya seseorang berasa geram apabila kerja yang dilakukan seolah-olah tidak dihargai atau dipandang ringan oleh orang lain. 

Namun, keadaan itu tidak sepatutnya menjadi alasan untuk membalas dengan permusuhan.

Inti pati pesanan tersebut ialah seseorang perlu meneruskan amanah dengan yakin dan ikhlas, tanpa menjadikan cemuhan orang lain sebagai alasan untuk meninggalkan tanggungjawab atau membalasnya dengan keburukan. 

Kerendahan hati bukan tanda kelemahan, manakala memilih kata-kata yang baik bukan bererti bersetuju dengan penghinaan, sebaliknya menunjukkan kemampuan mengawal diri ketika diuji.

Peringatan itu membawa mesej penting kepada warga Kementerian Kewangan bahawa pelaksanaan amanah memerlukan bukan sahaja kecekapan dan keyakinan, tetapi juga keikhlasan, kesabaran serta kesediaan menerima kritikan secara matang. 

Dalam melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat, perbezaan pandangan tidak seharusnya menjadi alasan untuk merendahkan orang lain atau mengabaikan nilai moral.

Surah al-Furqan ayat 63 mengingatkan bahawa kemuliaan seseorang bukan terletak pada keupayaan memenangi setiap pertengkaran, tetapi pada sikap rendah hati, keteguhan melaksanakan tanggungjawab dan kebijaksanaan menghadapi keburukan tanpa mengorbankan nilai diri. 

Dalam dunia yang mudah mengheret manusia ke dalam perbalahan, memilih kata-kata yang baik dan menjauhi pertengkaran yang sia-sia merupakan satu bentuk kekuatan akhlak.

BACA JUGA ECRL maklumkan kadar tambang, RM125 ke Kota Bharu, warga emas 50 peratus diskaun