Empat tahun rumah tak siap, 2,400 pembeli Residensi Hektar Gombak kini nampak sinar

FOTO BERITA: Lawatan Tapak oleh YB Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkenaan Task Force Projek Perumahan swasta sakit dan terbengkalaiI (TFST) di Tapak Projek, Residensi Hektar Gombak (Residensi Wilayah), Jalan Gombak, Kuala Lumpur . 19hb Oktober 2026 (Isnin)

Projek Residensi Hektar Gombak yang pernah terbengkalai sejak Disember 2022 kini menunjukkan perkembangan positif apabila kerja pembinaannya mendahului jadual sebanyak 18 hari.

Projek perumahan di Jalan Gombak itu disambung semula pada 21 September 2025 hasil campur tangan Pasukan Petugas Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).


Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, perkembangan tersebut memberi keyakinan bahawa projek berkenaan mampu memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) pada suku pertama 2027.

Katanya, penyerahan milikan kosong kepada pembeli pula disasarkan pada suku kedua tahun sama. Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan tapak dan sidang media di Residensi Hektar Gombak, hari ini.

Menurutnya, kejayaan menggerakkan semula projek itu membuktikan kepentingan intervensi langsung kerajaan bersama pemaju, kontraktor, pihak berkuasa tempatan dan syarikat utiliti.

Malah, beberapa isu membabitkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Indah Water Konsortium (IWK) turut diberikan perhatian bagi memastikan pembinaan berjalan mengikut perancangan.

Beliau menegaskan, TFST bukan sekadar memantau projek bermasalah dari pejabat, sebaliknya turun padang untuk mengenal pasti halangan dan mencari penyelesaian.

Sejak 2024, beliau telah melawat 110 projek perumahan bermasalah dan 88 daripadanya atau 80 peratus berjaya memperoleh CCC.


Dalam pada itu, KPKT masih memantau 278 projek sakit dan 99 projek terbengkalai berlesen di seluruh negara. Kerajaan turut memberi perhatian kepada 163 projek terbengkalai tanpa lesen supaya pembeli yang terjejas tidak terus dibiarkan menanggung masalah tanpa penyelesaian.