Jerebu, banjir dan Super El Nino: Anwar arah persediaan dipertingkat, sekolah jadi keutamaan

Ketika jerebu masih membimbangkan dan ancaman cuaca ekstrem dijangka berterusan, kerajaan memperhalusi langkah kesiapsiagaan termasuk kemungkinan penutupan sekolah, operasi pembenihan awan serta persediaan menghadapi banjir dan Super El Nino tahun depan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Pengurusan Bencana Negara yang dipengerusikannya petang tadi, dengan kesihatan rakyat khususnya murid sekolah menjadi antara keutamaan.

Menurut perdana menteri, mesyuarat berkenaan turut meneliti cadangan penambahbaikan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, terutama berkaitan arahan penutupan sekolah dan persediaan Kementerian Pendidikan bagi memastikan proses pembelajaran tidak terjejas sekiranya sekolah terpaksa ditutup selama beberapa hari.

“Saya tegaskan bahawa kesihatan anak-anak mesti menjadi keutamaan, dengan langkah yang teratur bagi memastikan pelajaran mereka tidak terjejas,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Anwar berkata Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Meteorologi Malaysia akan memperhalusi cadangan berkenaan bersama Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan.

Pada masa sama, beliau menegaskan keperluan peruntukan bagi operasi pembenihan awan akan dipenuhi bagi membantu mengurangkan jerebu yang melanda negara.

Katanya, operasi itu sedang dijalankan hampir setiap hari, bergantung pada keadaan awan yang sesuai.

Selain isu jerebu, mesyuarat turut diberi taklimat mengenai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka membawa hujan lebat dan meningkatkan risiko banjir.

Kerajaan juga mengambil perhatian terhadap ancaman Super El Nino yang diramal membawa keadaan cuaca panas dan kering melampau pada tahun depan, sekali gus memerlukan persediaan awal oleh agensi berkaitan.

Anwar menegaskan kesiapsiagaan agensi barisan hadapan perlu terus dipertingkat, manakala NADMA perlu diperkasa sebagai pusat penyelarasan dasar dan operasi merentas agensi.

Usaha itu termasuk memperkukuh peranan Pusat Kawalan Operasi Bencana Pusat bagi memastikan tindakan pencegahan, persediaan, tindak balas dan pemulihan dapat dilaksanakan dengan pantas serta berkesan.

Beliau turut menyeru Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, sektor swasta, sukarelawan serta masyarakat supaya bekerjasama memperkukuh kesiapsiagaan komuniti dalam menghadapi pelbagai ancaman bencana.

“Nyawa rakyat mesti dilindungi dan bantuan mesti sampai segera kepada mereka yang memerlukan. Inilah amanah yang mesti kita galas bersama,” katanya.

BACA JUGA Ada dakwa hutang 1MDB dah langsai, tak tahu kitab mana yang dibaca – PMX