Lebih 514,000 kenderaan perdagangan nikmati subsidi diesel, Sabah catat hampir 39,000

FOTO BERITA: Sebanyak 514,111 kenderaan perdagangan melibatkan 205,167 syarikat di seluruh negara telah berdaftar di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) setakat 18 Oktober lalu. (Gambar: UKK KPDN)

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, daripada jumlah itu, Sabah merekodkan 38,659 kenderaan melibatkan 17,703 syarikat

Menurutnya, jumlah berkenaan merangkumi 27,655 kenderaan pengangkutan barangan keperluan pengguna, 8,773 kenderaan persendirian syarikat termasuk jip dan pikap serta 2,231 kenderaan pengangkutan awam.

“Pelaksanaan subsidi bersasar ini bertujuan memastikan bantuan kerajaan disalurkan kepada sektor pengangkutan dan perniagaan mikro serta kecil yang layak,” katanya semasa Program Jualan Rahmah MADANI dan Pengedaran Barang keperluan di Pulau Banggi

Bagi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) pula, sebanyak 44,883 kenderaan melibatkan 24,204 syarikat telah berdaftar di seluruh negara.
Daripada jumlah itu, Sabah mencatatkan 1,408 kenderaan melibatkan 995 syarikat, selain satu pendaftaran bagi sektor pengangkutan awam air.

Dalam pada itu, Armizan berkata, KPDN turut mencadangkan kepada Kementerian Kewangan supaya subsidi diesel diperluas kepada pengusaha feri Kudat-Pulau Banggi.

Cadangan itu bertujuan membantu pengusaha mengurangkan tekanan kos operasi sekali gus membolehkan kekerapan perjalanan feri ditingkatkan semula demi kemudahan penduduk.

Sementara itu, sebanyak 35 siri Program Jualan RAHMAH MADANI telah dilaksanakan di Pulau Banggi sepanjang tahun ini sehingga 18 Oktober, selain program pengedaran barang perlu melibatkan 77 lokasi jualan.
