Mahasiswi tanya soal rasuah, Onn Hafiz sibuk pertahan nasib orang politik, Pemuda AMANAH tempelak MB Johor

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dibidas kerana didakwa mengalihkan persoalan seorang mahasiswi mengenai rasuah kepada isu pendakwaan terpilih dan penganiayaan politik.

Exco Pemuda AMANAH Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda berkata, jawapan Onn Hafiz terhadap mahasiswi Universiti Malaya, Ummi Umairah, tidak menyentuh keresahan anak muda mengenai keberanian pemimpin menentang rasuah.

Menurutnya, Ummi sebelum ini mempersoalkan tindakan pihak tertentu yang sanggup menyumbang kepada tabung solidariti bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Namun, Onn Hafiz sebaliknya membangkitkan dakwaan political persecution (penganiayaan politik) dan selective prosecution (pendakwaan terpilih).

“Apabila saudari Ummi bertanya bagaimana generasi muda harus berani menentang rasuah, beliau membangkitkan dakwaan ‘political persecution’ dan ‘selective prosecution’.

“Jawapan itu mengalihkan perhatian daripada persoalan pokok yang dibangkitkan,” katanya dalam kenyataan.

Fadhli turut mencabar Onn Hafiz menjelaskan pihak yang didakwanya melakukan pendakwaan terpilih serta mengemukakan bukti bagi menyokong tuduhan tersebut.

Beliau mengingatkan bahawa sabitan Najib dalam kes SRC International telah dikekalkan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 selepas melalui dua peringkat mahkamah sebelumnya.

Selain itu, Fadhli menggesa Onn Hafiz menyatakan pendirian terhadap isu tatakelola membabitkan Tabung Haji, FELDA dan UiTM Holdings tanpa mengutamakan kepentingan politik.

Katanya, pemimpin yang benar-benar menolak rasuah mesti berani mempertahankan prinsip kebertanggungjawaban, termasuk apabila membabitkan parti sendiri.

“Yang memalukan ialah apabila seorang Menteri Besar diberikan peluang menjawab keresahan anak muda, tetapi memilih untuk mengalihkan perbincangan kepada nasib orang politik.

“Onn Hafiz perlu menjawab persoalan tersebut dengan fakta dan pendirian yang jelas. Jangan alih tiang gol wahai MB!” tegasnya lagi.

BACA JUGA ECRL maklumkan kadar tambang, RM125 ke Kota Bharu, warga emas 50 peratus diskaun