ARTIKEL │Dari iklan pelaburan ke pautan ‘phishing’, advokasi digital jadi benteng elak wang lesap

Penipuan pelaburan dalam talian dan pancingan data atau phishing semakin berkembang daripada mesej mudah kepada operasi yang mengeksploitasi media sosial, aplikasi pemesejan, identiti institusi sah serta manipulasi psikologi mangsa.

Ancaman itu bukan kecil apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 9,603 kes penipuan pelaburan dengan kerugian RM1.47 bilion sepanjang 2025, menjadikan skim pelaburan palsu antara kategori scam yang menyebabkan kerugian kewangan terbesar. 

Modus operandinya pula semakin tersusun. Sindiket lazimnya menggunakan Facebook atau Instagram sebagai pintu masuk sebelum membawa mangsa ke WhatsApp atau Telegram, kemudian memasukkan mereka ke kumpulan pelaburan yang kelihatan profesional lengkap dengan testimoni, dakwaan keuntungan dan “penasihat” palsu. 

Perkembangan paling baharu memperlihatkan penipu sanggup meniru identiti badan pengawal selia sendiri. Pada 6 Oktober, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) memasukkan halaman TikTok yang mengklon SC, akaun X palsu InvestSmart SC serta entiti klon Investssmartsc di Telegram ke dalam senarai amarannya.

Situasi itu bermakna pengguna tidak lagi boleh menganggap sesuatu tawaran selamat hanya kerana memaparkan logo, nama organisasi atau wajah individu yang dikenali.

Dalam masa sama, ancaman phishing turut berubah saluran. MCMC pada 20 Ogos mendedahkan scammer mula beralih kepada RCS dan iMessage, selain WhatsApp dan Telegram, selepas sekatan hiperpautan diperketatkan bagi SMS rasmi. 

Timbalan Pengarah Telekomunikasi Fraud MCMC Selangor, Mohd Amirul Hakim Abdul Rahim berkata peralihan itu berlaku kerana platform berkenaan masih membenarkan penghantaran hiperpautan yang boleh digunakan untuk membawa pengguna ke laman pancingan data. 

Sebab itu usaha advokasi keselamatan digital kini tidak boleh terhenti pada nasihat lama seperti “jangan klik SMS pelik”, sebaliknya perlu mendidik masyarakat mengenal keseluruhan proses bagaimana kepercayaan dibina sebelum wang atau data dicuri.

Pakar Keselamatan Siber Universiti Malaya (UM), Profesor Ts. Dr Ainuddin Wahid Abdul Wahab memberi amaran penipuan pelaburan dalam talian boleh berkembang menjadi suatu “pandemik ekonomi” sekiranya tidak dibendung dengan serius. 

Menurut beliau, sindiket sudah menggunakan kumpulan pelaburan palsu di Telegram dan WhatsApp, testimoni yang diwujudkan menerusi bot serta teknologi AI untuk menghasilkan video, audio atau bahan promosi menyerupai individu sebenar.

Namun teknologi bukan satu-satunya senjata scammer. Pensyarah Kanan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat UPM, Dr Nuur Alifah Roslan berkata penjenayah siber semakin memberi tumpuan kepada manipulasi manusia berbanding semata-mata mengeksploitasi kelemahan sistem. 

Menurutnya, phishing kekal antara penipuan paling dominan kerana penjenayah hanya perlu memperdaya pengguna supaya menekan pautan, menyerahkan maklumat atau memindahkan wang sendiri. Beliau menyarankan masyarakat membiasakan prinsip “berhenti, semak dan sahkan” sebelum bertindak.

Faktor psikologi turut memainkan peranan besar. Presiden Persatuan Psikologi Malaysia, Prof Madya Dr Shazli Ezzat Ghazali, menjelaskan pengetahuan mengenai scam tidak semestinya menjamin seseorang mampu membuat keputusan rasional apabila berdepan situasi sebenar. 

Menurutnya, penipu mengeksploitasi keadaan panik, takut, terdesak atau terlalu teruja sehingga berlaku “emotional hijacking”, apabila emosi mula mengatasi pertimbangan rasional. Dalam penipuan pelaburan, harapan mendapat keuntungan lumayan boleh menjadi pencetus yang sama kuat seperti ancaman kehilangan wang. 

Justeru, beliau mencadangkan kempen kesedaran tidak sekadar memberi fakta tetapi menggunakan latihan dan simulasi situasi sebenar, selain membina tabiat berhenti seketika sebelum membuat keputusan kewangan penting.

Satu lagi unsur yang sering terlepas pandang ialah bahasa. Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa Melayu UPM, Dr Muhammad Faizul Abd Hamid, berkata penipuan pelaburan tidak semestinya bermula dengan permintaan wang, sebaliknya boleh bermula menerusi perbualan mengenai pasaran, prestasi dan pengalaman “pelabur lain”. 

Menurut pakar analisis wacana dan forensik linguistik itu, bahasa yang tersusun, istilah profesional dan nada yakin boleh mencipta gambaran palsu bahawa seseorang benar-benar pakar. Kemunculan AI pula menyebabkan mesej scam semakin sukar dikenal pasti hanya melalui kesalahan ejaan atau ayat janggal. 

Benteng awal

Pakar pemasaran Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Yaty Sulaiman pula menyorot bagaimana scammer menyalahgunakan teknik pemasaran seperti testimoni palsu, akaun bot, gambaran gaya hidup mewah serta strategi memberikan ganjaran kecil terlebih dahulu untuk membina kepercayaan mangsa. 

Beliau turut membangkitkan isu “brand hijacking”, iaitu apabila penipu mencipta laman atau identiti digital yang meniru institusi kewangan, syarikat popular atau agensi kerajaan untuk mencuri maklumat peribadi dan perbankan.

Bahaya itu jelas dalam kes sebenar. Pada 25 September, seorang peladang kelapa sawit di Pahang kerugian RM301,777 selepas menerima tawaran pelaburan melalui WhatsApp, menekan pautan pendaftaran dan kemudian membuat 18 transaksi ke sembilan akaun bank berbeza. 

Kes berkenaan menunjukkan mengapa advokasi perlu menekankan bahawa sesuatu laman pelaburan yang memaparkan “keuntungan” pada skrin belum tentu membuktikan wang atau aset itu benar-benar wujud.

Pada peringkat penguatkuasaan, SC dan MCMC telah menandatangani memorandum persefahaman pada 3 April bagi meningkatkan pengesanan, siasatan dan tindakan terhadap penipuan dalam talian serta skim pelaburan palsu, termasuk penggunaan teknologi baharu dan penyelesaian berasaskan AI. 

Program pendidikan seperti InvestSmart pula memberikan tumpuan khusus kepada cara mengenal pasti scam, tanda amaran pelaburan dan keputusan pelaburan yang bertanggungjawab, manakala SC terus mengemas kini Investor Alert List untuk rujukan orang ramai. 

Pensyarah Kanan UM, Dr Nur Syazwani Ahmad pula mengingatkan bahawa pendidikan pencegahan sepatutnya berlaku sebelum mangsa tertipu, bukan hanya selepas wang hilang. 

Menurutnya, masyarakat perlu diajar bagaimana sesuatu scam berfungsi, bagaimana penipu menimbulkan panik dan bagaimana pengesahan perlu dibuat melalui saluran rasmi. 

Kesimpulannya, mengekang penipuan pelaburan dan phishing memerlukan lebih daripada sekadar menurunkan akaun palsu. Ia memerlukan pengguna yang mampu mengenal jerat psikologi, memahami bahasa manipulasi, mempersoalkan “peluang terlalu lumayan”, menyemak identiti pihak yang menghubungi mereka dan berhenti sebelum mengklik atau memindahkan wang.

Dalam dunia apabila scammer mampu menyamar sebagai syarikat pelaburan, bank malah pengawal selia sendiri, advokasi digital yang berterusan menjadi benteng awal sebelum penguatkuasaan terpaksa bertindak selepas kerugian berlaku.

BACA JUGA Bila Pas gagal pimpin tapi mahu kuasai segalanya, akhirnya PN yang terkubur