Dua soalan panas bakal dijawab PM dalam Dewan Rakyat hari ini
Dua isu berprofil tinggi membabitkan dakwaan kegiatan mafia korporat serta penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa di FELDA bakal dibangkitkan pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Perkara itu terkandung dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat bagi persidangan hari ini, dengan kedua-dua soalan ditujukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Soalan pertama dikemukakan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Aminuddin Harun, yang meminta penjelasan mengenai perkembangan terkini dakwaan kegiatan mafia korporat yang melibatkan pelanggaran undang-undang serta tindakan yang telah diambil setakat ini.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari pula meminta Perdana Menteri mengenai status terkini siasatan kes penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa yang melibatkan FELDA, termasuk anak syarikatnya, FELDA Investment Corporation.
Kedua-dua soalan itu dijadualkan dalam Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada pukul 10 pagi ini.