Dulu saya dihentam kerana kritik Dr Sam, kini PN dibatalkan – Dr Tawfik
Pensyarah Kanan Jabatan Sains Politik Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub, mengimbas kembali kecaman hebat yang diterimanya selepas mempertikaikan pelantikan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Beliau membangkitkan perkara itu susulan dakwaan pembatalan pendaftaran PN yang kini mencetuskan perdebatan mengenai kepemimpinan gabungan pembangkang berkenaan.
“Ramai yang menyerang dan mengecam teruk saya sebelum ini apabila saya katakan satu kesilapan memilih Dr Sam sebagai Pengerusi PN.
“Hari ini PN dibatalkan pendaftaran,” tulisnya menerusi Threads, hari ini.
Dr Tawfik turut berkongsi semula rakaman wawancaranya bersama Astro Awani kira-kira lapan bulan lalu yang mempertikaikan kewajaran pelantikan Ahmad Samsuri.
Rakaman bertajuk “Silap lantik Dr Sam sebagai pengerusi PN. Adakah mampu tandingi PMX? – Penganalisis” itu kembali menarik perhatian pengguna media sosial.
Hantaran berkenaan mengundang pelbagai reaksi apabila sebahagian netizen menyokong pandangan Dr Tawfik, manakala yang lain mempertikaikan kaitan antara pelantikan Ahmad Samsuri dengan isu pendaftaran PN.
Pengguna Threads, @comradenami, menyamakan pengalaman Dr Tawfik dengan ahli falsafah Socrates yang turut menerima kecaman kerana menyuarakan pandangan yang dianggap benar.
“Orang cuma nak baca apa yang dia rasa best. Orang tak nak baca kebenaran walaupun benda tu tak best,” katanya.
Seorang lagi pengguna, @hjnajmi, secara berseloroh menyifatkan Dr Tawfik seperti watak Dr Strange kerana seolah-olah dapat menjangkakan perkembangan politik lebih awal.
Bagaimanapun, @sulaiman.mahiddin menolak analisis tersebut dengan menegaskan pembatalan pendaftaran PN tidak mempunyai kaitan dengan pelantikan pengerusinya.
Sementara itu, @ikmalzainaljr mendakwa Ahmad Samsuri terlalu lemah sebagai pengerusi kerana keputusannya dibayangi Presiden Pas.
Pengguna @hasmadi_haris pula melihat perkembangan itu sebagai gambaran perebutan pengaruh antara Pas dan Bersatu, khususnya membabitkan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perdebatan berkenaan sekali lagi mencetuskan persoalan mengenai kemampuan Ahmad Samsuri menerajui PN dan mencabar kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, kaitan langsung antara pelantikan Ahmad Samsuri dengan dakwaan pembatalan pendaftaran PN masih belum dapat dipastikan, meskipun Dr Tawfik kembali mempertahankan pendirian yang pernah mengundang kecaman terhadapnya.