Label belanjawan 2027 jerebu, pedas jawapan balas Anwar kepada Fadhli Shaari

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pedas membalas dakwaan pembangkang bahawa Belanjawan 2027 yang dibentang minggu lalu sebagai belanjawan ‘jerebu’.

Beliau berkata, masalahnya mungkin kerana pembangkang tidak membaca angka dan data yang dibentangkan.

Jawapan itu menyusul selepas Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari sebelum ini melabelkan Belanjawan 2027 sebagai belanjawan ‘jerebu’.

“Belanjawan tak jerebu. Masalahnya tak baca. Kalau baca, jelas angka dan datanya,” katanya bersahaja ketika berucap semalam.

Sebelum ini, Ahmad Fadhli mendakwa Belanjawan 2027 masih banyak perkara yang tidak jelas.

Pemimpin Pas itu ketika menjawab soalan wartawan, menggunakan istilah ‘haze budget’ bagi menggambarkan pandangannya terhadap belanjawan berkenaan.

“Semua nampaknya tak clear dan saya sifatkan bajet ini sebagai bajet jerebu,” katanya.

Menjawab kritikan itu, Anwar menegaskan Belanjawan 2027 tidak berjerebu sebaliknya mengandungi angka, data dan perincian dasar yang jelas untuk diteliti.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Belanjawan 2027 dirangka dengan matlamat memberikan manfaat kepada rakyat secara menyeluruh walaupun kerajaan menyedari tidak semua pihak dapat dipenuhi kehendak mereka sepenuhnya.

Menurut beliau, penyediaan belanjawan itu mengambil kira input daripada pelbagai jabatan, kementerian, syarikat, orang ramai serta golongan petani bagi memastikan keperluan rakyat dapat diberikan perhatian sewajarnya.