PN pun tak mampu dijaga, macam mana Pas nak tadbir negara – Mahfuz

Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan kemampuan Pas memimpin Malaysia apabila gabungan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui parti itu sendiri berdepan pembatalan pendaftaran oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

Beliau menyifatkan perkembangan itu sebagai tamparan besar kepada Pas yang bercita-cita mengambil alih pentadbiran negara, sedangkan keupayaan mengurus gabungan politik sendiri kini menjadi persoalan.

“Pas jangan terlalu ghairah menjual mimpi untuk memerintah Malaysia sedangkan krisis PN yang diterajui Pas sendiri menimbulkan persoalan besar tentang kemampuan kepimpinannya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mahfuz turut menyindir kepimpinan PN yang kini diterajui Naib Presiden Pas merangkap Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, apabila gabungan tersebut berdepan krisis ketika Pas semakin menonjolkan cita-cita memimpin negara.

“Nak jadi nakhoda negara, tetapi kapal sendiri terumbang-ambing. Nak meminta kepercayaan rakyat, tetapi kepercayaan dalam gabungan sendiri pun menjadi persoalan.

“Di manakah bukti kemampuan memimpin yang begitu dibanggakan?” soalnya.

Lebih kompleks

Menurut Mahfuz, Pas perlu menjelaskan kepada rakyat bagaimana parti itu mahu mengurus sebuah negara yang jauh lebih kompleks sekiranya kepercayaan sesama rakan politik dalam gabungan sendiri sukar dipelihara.

Beliau menegaskan bahawa memiliki banyak kerusi Parlimen tidak secara automatik menjadikan Pas parti paling layak memimpin negara kerana kepimpinan memerlukan kebijaksanaan berkongsi kuasa dan menghormati rakan gabungan.

“Banyak kerusi boleh membesarkan cita-cita, tetapi tidak semestinya membesarkan kebijaksanaan,” katanya sambil mengkritik kecenderungan Pas menggunakan sentimen agama dan kaum bagi mempertahankan sokongan politik.

Mahfuz turut mengingatkan Pas supaya tidak menjadikan agama sebagai alasan untuk mengelak kritikan terhadap kelemahan kepimpinan, sebaliknya membuktikan kemampuan menyelesaikan masalah dan membina kepercayaan rakyat.

“Jangan minta rakyat menyerahkan kunci negara kepada Pas hanya kerana Pas mahu berkuasa. Buktikan dahulu bahawa Pas mampu menjaga amanah, memelihara kepercayaan dan mengurus rakan sendiri. Negara bukan tempat untuk belajar mengemudi setelah kapal mula karam,” tegasnya.

Beliau mengakhiri kenyataannya dengan sindiran bahawa Pas tidak sepatutnya terlalu sibuk mengejar Putrajaya sekiranya gabungan yang dipimpinnya sendiri gagal dikendalikan dengan meyakinkan.

“Pas jangan sibuk mahu memandu Malaysia di Putrajaya jika stereng PN sendiri pun gagal dikawal dengan meyakinkan hingga akhirnya masuk gaung,” kata Mahfuz lagi.

BACA JUGA Muhyiddin bayangkan salah guna kuasa punca PN berkubur