Akmal ikut jejak Siti Mastura, ramai ucap tahniah jadi ‘penyumbang besar’ kepada DAP
Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh kini menerima perhatian selepas diperintahkan membayar RM300,000 kepada pemimpin DAP, Teresa Kok, susulan kekalahan dalam kes saman fitnah.
Perkembangan itu mengingatkan kepada nasib Ahli Parlimen Kepala Batas dari Pas, Dr Siti Mastura Muhammad, yang tahun lalu turut kalah saman fitnah dan diperintahkan membayar RM825,000 kepada tiga pemimpin DAP.
Secara keseluruhan, kedua-dua kes membabitkan ganti rugi dan kos mahkamah berjumlah RM1.125 juta.
Keadaan itu mengundang sindiran bahawa dua ahli politik yang lantang mengkritik DAP akhirnya menjadi ‘penyumbang besar’ kepada pemimpin parti terbabit.
Antaranya, sindiran Mohamed Hassan yang mengaitkan bayaran RM300,000 itu dengan bekas Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.
“Kesian RM 300,000 tu boleh derma to you ex bossku (Najib), sekarang kena derma kepada DAP,” tempelaknya.

Seorang lagi pengguna Facebook, Ivan Romanov, turut menyindir dengan komen ringkas: “terima kasih derma kepada DAP…hahaha”.
Sindiran berkenaan muncul selepas Akmal menerusi Facebook hari ini mengakui simpanannya tidak mencukupi untuk menjelaskan bayaran RM300,000.
ADUN Merlimau berkenaan kemudian mengumumkan bidaan bagi menjual motosikal Honda X-ADV serta ikan tilapia ternakannya.
“Sejujurnya juga, RM300,000 itu sangat besar bagi diri saya. Apabila dihitung segala simpanan yang ada, jumlahnya masih belum mencukupi,” katanya.
Bagaimanapun, Akmal menegaskan dia menghormati keputusan mahkamah dan mahu berusaha sendiri terlebih dahulu.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri Melaka itu juga tidak mahu membebankan penyokong yang mencadangkan pembukaan tabung sumbangan.
Sementara itu, Siti Mastura pernah menerima keputusan hampir serupa selepas Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada Disember 2024 mendapati pemimpin Pas berkenaan memfitnah Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Teresa Kok dengan mengaitkan mereka dengan pemimpin komunis, Chin Peng.
Siti Mastura diperintahkan membayar ganti rugi RM750,000 serta kos RM75,000. Dia kemudiannya mendepositkan RM830,034.75 termasuk faedah kepada firma guaman yang mewakili ketiga-tiga pemimpin DAP pada Januari 2025.
Menariknya, Teresa merupakan plaintif dalam kedua-dua kes berkenaan yang memperoleh penghakiman ganti rugi RM200,000 dalam kes Siti Mastura, selain RM250,000 dalam kes terhadap Akmal, tidak termasuk kos mahkamah.
BACA JUGA Adun Kelantan kena buka mata: Nak jaga Rohingya atau rakyat sendiri?