Catatan Reformasi Zunar | Kisah Tan: Cina tak wajib solat maghrib

Pertama kali saya mengenali Tan ialah di dalam lokap selepas kami sama-sama ditangkap ketika mengadakan demonstrasi jalanan pada tahun 1999. 

Pertama kali masuk lokap, saya susah tidur kerana hanya ada lantai simen dan seluar pendek. 

Berbeza dengan Tan, dia masuk lima minit, terus tidur berdengkur.  Ini kerana dia sudah banyak kali masuk keluar lokap.

Tan atau nama sebenarnya, Tan Ah Kaw, adalah sosok yang selalu akan ditangkap setiap kali himpunan reformasi diadakan – di SOGO, di Dataran Merdeka, di Kampung Baru dan di mana-mana sahaja. 

Malah, ada satu riwayat menyatakan ada seorang polis pernah ditampar oleh ketuanya kerana tidak menangkap Tan pada satu perhimpunan. 

Apabila dibebaskan, perkenalan kami menjadi rapat. Malah, Tan adalah pembantu saya yang paling setia dan bersedia membuat apa sahaja menurut keperluan saya. 

Kalau saya ke luar KL, dia yang menjadi supir kereta Kancil saya – ke Melaka, Johor, Pulau Pinang, Kedah dan lain-lain. 

Kalau saya ada program, dia akan susun pentas dan mikrofon, pasang sepanduk dan lain-lain. Dia pikul buku, angkat kerusi meja dan bersihkan tempat selepas habis program. 

Dia lakukan semua ini bukan kerana upah, tetapi sebagai menghargai persahabatan kami dan perjuangan bersama. 

Pernah dalam satu perjalanan, dia berkata, “Satu hari nanti, bila Anwar jadi PM, kita bawa dia naik kereta yang banyak menyimpan kenangan ini.” Untuk itu saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga.

Kerana Tan berasal dari Kedah, bahasa Melayunya bagus. Dia senang berbahasa Melayu dan suka memakai pakaian macam orang Melayu. 

Saya teringat, pada satu hari, saya bakal mengadakan sebuah ceramah yang akan bermula pada jam 8:30 malam. 

Kira-kira jam 7 petang, Tan seperti biasa dengan pakaian baju Melayu lengkap dengan sampin terlebih dahulu giat menyusun kerusi. 

Sedang itu, azan Maghrib berkumandang dan orang semua pergi ke surau. Tetapi Tan tetap sahaja menyusun kerusi. 

Selepas solat, tuan rumah datang mengadu kepada saya, “Apalah kawan kamu Atan tu, orang berhenti solat, dia dok sibuk susun kerusi.” Saya jawab, “Laa… itu bukan Atan, tapi Tan. Dia Cina dan Cina tak wajib solat maghrib, kan?” Dia ketawa besar.

Tan meninggal dunia dalam usia yang relatif muda. Tetapi beberapa tahun sebelum meninggal dunia, dia memeluk Islam dengan nama Omar Tan. Al-Fatihah, semoga rohnya dicucuri rahmat.