‘Kata BN-PN berkuasa masalah kesultanan selesai, nampaknya makin haru-biru, kelam kabut’

Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Amirudin Shari menyindir Pas dan Barisan Nasional (BN) yang menjadi punca utama kekalutan melanda Negeri Sembilan.

Ketika berbahas dalam Sidang Dewan Rakyat, Amirudin membalas kritikan Tan Sri Abdul Hadi Awang kononnya DAP mengawal Pakatan Harapan (PH), dan PH menyebabkan kekacauan dan kekeliruan.

Amirudin membalas ringkas dengan membangkitkan isu kekalutan dan huru hara di Negeri Sembilan.

Dalm nada sinis, beliau mengaitkan kekalutan itu dengan kegagalan BN-PN menguruskan Negeri Sembilan selepas mengambil alih pentadbiran negeri.

“Apa yang disebut oleh (Ahli Parlimen) Marang tadi kononnya DAP mengawal PH, PH menyebabkan kekacauan dan kekeliruan. Saya pun tak tahu.

“Mereka kata kalau BN dan PN berkuasa Negeri Sembilan masalah Kesultanan di Negeri Sembilan itu selesai. Nampaknya makin haru-biru dan makin kelam-kabut,” balasnya ringkas.

Untuk rekod, krisis adat dan Istana di Negeri Sembilan berlarutan sejak BN mengambil alih pentadbiran lebih dua bulan lalu dan sehingga kini tidak menunjukkan tanda-tanda reda.

Keadaan itu menjadi lebih panas selepas baru-baru ini tular video memaparkan kemurkaan Tuanku Muhriz terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim, yang sekaligus menggambarkan betapa keruhnya hubungan antara Istana dan kerajaan BN-PN ketika ini.