Rakyat mula bincang alternatif Waze, sokongan terhadap seruan kerajaan semakin meluas
Pekeliling kerajaan berhubung larangan penggunaan aplikasi navigasi Waze dalam kalangan penjawat awam mula mendapat perhatian orang ramai apabila pengguna media sosial turut membincangkan langkah untuk beralih kepada aplikasi alternatif sebagai tanda sokongan terhadap seruan kerajaan.
Perbincangan itu kini bukan sahaja melibatkan penjawat awam, malah pengguna biasa turut menyatakan kesediaan mereka untuk menyahpasang aplikasi berkenaan susulan kaitannya dengan Israel.
Menerusi satu hantaran di Threads, pengguna bernama hazimikhwan mengulas isu berkenaan dengan menyifatkan Waze sebagai ancaman keselamatan siber kepada negara, selain menyatakan keperluan untuk menyekat langsung aplikasi itu di negara ini.
“Wow guys, kerajaan dah keluarkan pekeliling larangan penggunaan Waze. Apparently memang Waze ni dah category cybersecurity threat dekat Malaysia..
“I guess kalau betul, wajar kementerian komunikasi terus ban je apps tu untuk user dalam negara.”
Dalam hantaran susulan, pengguna itu turut mengajak orang ramai mempertimbangkan tindakan memboikot Waze.
“Come on guys, kalau Starbucks kita boleh boikot, jom lah boikot waze sekali sebab ni memang dah terang lagi bersuluh agensi keselamatan siber dah buat keputusan macam ni,” katanya.
Pengguna mula cari aplikasi alternatif
Di ruangan komen, orang ramai turut membincangkan pilihan aplikasi navigasi lain yang boleh digunakan bagi menggantikan Waze, termasuk Google Maps dan Petal Maps, selain aplikasi tempatan, Tuju.
Ada pengguna yang berkongsi pengalaman beralih kepada Google Maps, manakala sebahagian yang lain berpandangan aplikasi navigasi alternatif perlu terus ditambah baik dari segi ketepatan maklumat trafik, kemas kini data dan kemudahan penggunaan.
Pada masa sama, terdapat pengguna yang menyatakan sokongan terhadap penggunaan aplikasi tempatan, namun menegaskan bahawa pembangun perlu mengambil kira maklum balas pengguna dan meningkatkan mutu perkhidmatan.
Antara perkara yang dibangkitkan ialah keperluan menyediakan maklumat navigasi yang pantas dan tepat, selain memastikan aplikasi mudah digunakan serta serasi dengan sistem dalam kenderaan.
“I agree but TUJU need to always be updated. A lot of improvements kena buat”.
“I believe we Malaysian akan support this but pihak TUJU juga perlu cakna dengan feedback pengguna dan buat pembaikan supaya app tak mati dan sambutan meningkat.”
Perbincangan ini secara tidak langsung menunjukkan rakyat mula bersedia beralih kepada aplikasi navigasi alternatif dan menyahut seruan kerajaan untuk tidak lagi menggunakan Waze, sekali gus memperlihatkan sokongan orang awam terhadap langkah berkenaan.