Tutup ruang Israel ancam negara, kerajaan arah penjawat awam ‘uninstall’ Waze

Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengesahkan seluruh penjawat awam diarah untuk tidak menggunakan aplikasi navigasi Waze bagi melindungi maklumat kerajaan dan data peribadi pengguna daripada ancaman penyalahgunaan rejim Israel.

Keputusan ini mengambil kira kedudukan Waze Mobile Ltd. selaku pengawal data pengguna yang diperbadankan dan beroperasi di bawah undang-undang Israel.

PMO memaklumkan, maklumat sensitif kerajaan dan data peribadi rakyat mesti dilindungi daripada diperalat rejim Israel hingga menjejaskan keselamatan serta kedaulatan negara.

Pada masa sama, Perdana Menteri menyarankan seluruh rakyat Malaysia supaya turut berhenti menggunakan aplikasi Waze dan beralih kepada aplikasi alternatif tempatan seperti TuJu dengan mengambil kira jaminan keselamatan serta perlindungan data peribadi yang ditawarkan.

Pendirian Kerajaan MADANI adalah tegas dan kita akan menutup sebarang ruang yang boleh dimanfaatkan oleh rejim Israel untuk mengancam keselamatan negara dan rakyat.