Fungsi TuJu terganggu sementara sehari selepas PM saran guna, ini penjelasan LLM

Aplikasi navigasi tempatan TuJu kini menjalani proses penambahbaikan sistem sehingga menyebabkan fungsi navigasinya terganggu sementara.

Hal tersebut berlaku hanya sehari selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyarankan rakyat beralih daripada Waze kepada aplikasi berkenaan.

Pusat Pengurusan Trafik Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan perkara itu menerusi notis yang disiarkan di akaun rasmi X agensi berkenaan.

Menurut LLM, proses naik taraf tersebut bertujuan meningkatkan mutu perkhidmatan dan memberikan pengalaman perjalanan lebih baik kepada pengguna.

“Aplikasi TuJu sedang menjalani penambahbaikan sistem bagi memberikan pengalaman perjalanan lebih baik.

“Sepanjang tempoh ini, fungsi navigasi akan terganggu buat sementara waktu, manakala paparan kamera litar tertutup (CCTV) dan fungsi lain yang tersedia masih boleh digunakan seperti biasa,” menurut notis itu.

Tempoh penambahbaikan

Bagaimanapun, LLM tidak menyatakan tempoh penambahbaikan atau bila fungsi navigasi aplikasi berkenaan dijangka kembali beroperasi sepenuhnya.

Perkembangan itu berlaku ketika kerajaan sedang menggalakkan penggunaan TuJu sebagai alternatif kepada Waze berikutan kebimbangan terhadap keselamatan maklumat dan data pergerakan pengguna.

Semalam, Anwar menyarankan rakyat Malaysia supaya mempertimbangkan aplikasi navigasi tempatan seperti TuJu sebagai langkah memperkukuh perlindungan data peribadi dan keselamatan digital negara.

Pada masa sama, kerajaan turut mengeluarkan arahan melarang penjawat awam menggunakan Waze ketika menjalankan tugas rasmi, berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan itu dibuat susulan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara yang dipengerusikan Anwar pada 20 Oktober lalu.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, kemudian mengarahkan semua ketua kementerian dan jabatan memastikan keputusan tersebut dimaklumkan kepada penjawat awam di bawah seliaan masing-masing.

Bagaimanapun, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) menjelaskan bahawa larangan tersebut hanya terpakai ketika penjawat awam menjalankan tugas rasmi dan bukannya larangan menyeluruh terhadap orang awam.

TuJu merupakan aplikasi tempatan yang dibangunkan melalui kerjasama LLM dan Prosignal Consortium Sdn Bhd.

Selain fungsi navigasi, aplikasi itu menyediakan anggaran masa ketibaan, maklumat trafik dan kadar tol, kemudahan kawasan rehat dan rawat (R&R), siaran langsung CCTV lebuh raya serta bantuan kecemasan.

Walaupun fungsi navigasinya kini terganggu sementara, pengguna masih boleh mengakses kemudahan lain yang tersedia sepanjang proses penambahbaikan sistem dilaksanakan.

BACA JUGA PMX seronok layan cucu bermain gelongsor, netizen puji adab dan cara berpakaian