Hibah RM3.3 bilion Tabung Haji: Dua bekas bos didakwa tipu lembaga pengarah

Dua bekas pegawai kanan Lembaga Tabung Haji (TH) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas dakwaan memperdaya ahli lembaga pengarah bagi membolehkan pembayaran hibah berjumlah RM3.3 bilion kepada pendeposit bagi tahun kewangan 2017.

Bekas ketua pegawai kewangan TH, Rozaida Omar, 63, dan bekas ketua pegawai eksekutifnya, Johan Abdullah, 70, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norma Ismail, lapor Berita Harian.

Memetik laporan Berita Harian, mengikut pertuduhan, kedua-duanya didakwa secara bersama memperdaya ahli lembaga pengarah TH dengan menyediakan dan membentangkan kertas kerja yang mengandungi penilaian hartanah pelaburan lebih tinggi daripada harga pasaran sebenar dalam penyata kewangan belum dikonsolidasi bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017.

Hartanah terbabit ialah Bangunan TH Platinum Park, Bangunan TH Perdana dan Bangunan TH Selborne. Kedua-dua tertuduh didakwa mengetahui hartanah berkenaan sepatutnya dinilai pada harga pasaran yang lebih rendah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 3 petang hingga 10.30 malam pada 9 Februari 2018 di Menara TH Tun Razak, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM60,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Disember sebagai tarikh sebutan semula bagi penyerahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nazran Mohd Sham, Rohaiza Abd Rahman dan Siti Aina Rodhiah Md Shikh.

Rozaida diwakili peguam Shamsul Sulaiman, manakala Johan diwakili Shukri Mohamed dan Malissa Shukri.

Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah dan pertuduhan terhadap mereka masih perlu dibuktikan di mahkamah.

BACA JUGA PMX seronok layan cucu bermain gelongsor, netizen puji adab dan cara berpakaian