Kerajaan MADANI berjaya bendung ketirisan subsidi diesel, penggunaan di Sabah turun 10 peratus

Usaha Kerajaan MADANI melaksanakan subsidi diesel bersasar terbukti menunjukkan hasil apabila penggunaan bahan api itu di Sabah mencatatkan penurunan sebanyak 10 peratus pada bulan lalu.

Lebih menarik, penurunan itu berlaku walaupun kerajaan memberikan kuota tambahan 100 liter sebulan kepada pemilik kenderaan diesel yang layak di negeri berkenaan.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, perkembangan itu menunjukkan keberkesanan mekanisme BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) dalam membantu membendung ketirisan subsidi berbanding pendekatan sebelum ini.

Menurut beliau, kerajaan mahu memastikan subsidi bahan api benar-benar dinikmati rakyat yang layak, bukannya disalahgunakan sehingga menyebabkan pembaziran wang negara.

“Tujuan pelaksanaan skim ini bagi menangani ketirisan subsidi bahan api di samping menjamin rakyat dapat akses kepada diesel dan RON95 pada harga rendah.

“Namun, kerajaan mahu memastikan tiada ketirisan subsidi bahan api bagi menjamin rakyat dapat menikmati bekalan pada harga rendah,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Salamiah Mohd Nor (PN-Temerloh) berhubung keberkesanan pelaksanaan subsidi bahan api bersasar.

Urusan harian

Dalam pada itu, Chin Tong menjelaskan kerajaan turut mengambil kira keperluan penduduk Sabah dan Sarawak yang banyak bergantung kepada kenderaan pikap dan jip untuk urusan harian serta kegiatan ekonomi.

Sehubungan itu, seramai 52,133 pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip di Sabah sudah diluluskan kelayakan tambahan 100 liter di bawah BUDI Diesel sehingga 12 Oktober lalu.

Selain itu, kerajaan menambah baik mekanisme BUDI Diesel mulai 16 September dengan membenarkan pemilik berdaftar memindahkan kelayakan subsidi kepada pengguna sebenar kenderaan.

Langkah tersebut memberi manfaat kepada ahli keluarga, pekerja serta individu yang menggunakan kenderaan milik orang lain, termasuk menerusi urusan ‘sambung bayar’.

Malah, individu yang memiliki lebih daripada satu kenderaan diesel persendirian boleh memindahkan kelayakan kepada maksimum tiga orang lain, tertakluk kepada syarat dan semakan kelayakan.

Menurut Chin Tong, sebanyak 19,008 permohonan pemindahan kelayakan telah diluluskan di seluruh negara sehingga 12 Oktober, termasuk 5,555 permohonan dari Sabah.

Beliau menegaskan kerajaan akan terus memantau data penggunaan diesel dan mendapatkan maklum balas pengguna serta kerajaan negeri bagi memastikan pelaksanaan subsidi semakin mudah, adil dan berkesan.

Jelasnya, penambahbaikan berasaskan data penting supaya bantuan kerajaan terus sampai kepada golongan yang memerlukan, tanpa membuka ruang kepada ketirisan atau penyalahgunaan subsidi.

BACA JUGA Bukan sekadar tahu lokasi, sejarah perjalanan 7.6 juta pengguna Waze didakwa terdedah