KKM tidak berdiam diri, susun semula tenaga kerja pastikan rawatan tidak terganggu

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil langkah menyusun semula tenaga kerja dan mendapatkan sokongan petugas dari klinik berdekatan bagi memastikan perkhidmatan kesihatan kepada rakyat tidak terganggu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu dilaksanakan susulan kekurangan pegawai perubatan, penolong pegawai perubatan dan jururawat di beberapa fasiliti kesihatan.

Menurut beliau, meskipun berdepan kekangan tenaga kerja, tiada klinik kesihatan ditutup atau mengalami gangguan perkhidmatan rawatan pesakit luar akibat kekurangan petugas.

“Walaupun terdapat fasiliti yang mengalami kekurangan anggota, penyampaian perkhidmatan tetap dilaksanakan tanpa gangguan melalui penyusunan semula sumber sedia ada serta sokongan liputan daripada klinik lain, khususnya pegawai perubatan,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat yang disiarkan di laman web Parlimen, malam tadi.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berhubung kesan kekurangan tenaga kerja terhadap operasi klinik kesihatan.

Dr Dzulkefly menjelaskan, KKM turut menyelaraskan slot janji temu mengikut kapasiti sebenar petugas supaya perkhidmatan dapat diteruskan dengan cekap.

Bagaimanapun, beliau mengakui beberapa prosedur khusus seperti funduskopi memerlukan penjadualan awal kerana kekurangan petugas yang mempunyai kemahiran berkaitan.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan penutupan sementara sesebuah klinik kesihatan hanya dilaksanakan bagi tujuan naik taraf atau penyelenggaraan fasiliti.

Perkhidmatan pula dipindahkan secara terancang ke klinik berdekatan bagi mengelakkan akses rawatan rakyat terjejas.

Sementara itu, KKM sedang melaksanakan Reformasi Penjagaan Kesihatan Primer Kebangsaan dengan memberi tumpuan kepada pengukuhan akses dan kesaksamaan perkhidmatan kesihatan.

Sehubungan itu, kementerian sedang memetakan perkhidmatan di fasiliti kesihatan primer serta mengkaji jurang tenaga kerja bagi menambah baik pengagihan perjawatan mengikut keperluan sebenar setiap fasiliti.

BACA JUGA Keselamatan data negara tidak boleh dikompromi, kerajaan saran rakyat beralih daripada Waze