Masjid dicemari selut, tulang dan ulat: Jangan biar keharmonian Tumpat tergugat
Insiden sebuah masjid di Tumpat, Kelantan, dicemari campuran selut, bulu, serpihan tulang dan ulat bukan sahaja mengejutkan penduduk setempat, malah mengingatkan masyarakat tentang pentingnya memelihara keharmonian hidup beragama daripada tindakan yang boleh mencetuskan keresahan.
Dr Rosli Allani Abdul Kadir berkata kejadian di Masjid Al-Aziz Al-Hadi, Kota SPP Warisan, Kampung Berangan pada 5 Oktober lalu itu amat membimbangkan, terutama kerana Tumpat terkenal dengan masyarakat berbilang kaum yang hidup dalam suasana harmoni.
Menurutnya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) masjid menunjukkan seorang lelaki memasuki premis berkenaan sebelum mencurahkan bahan yang mengandungi campuran selut, bulu, serpihan tulang dan ulat di atas karpet ruang solat lelaki serta meja ceramah.
“Dalam suasana cukup harmoni, khususnya dengan komposisi pelbagai kaum di Tumpat, ia tentunya satu kejadian yang di luar kebiasaan masyarakat setempat,” katanya yang juga pimpinan PKR Kelantan.
Beliau berkata Tumpat yang bersempadan dengan Thailand mempunyai kepelbagaian penduduk, termasuk komuniti Siam yang menjadi sebahagian daripada masyarakat di Kelantan. Keharmonian itu, katanya, merupakan aset penting yang perlu dipelihara demi kestabilan sosial dan pembangunan ekonomi penduduk.
Kebimbangan terhadap kemungkinan kejadian serupa berulang sedikit sebanyak reda selepas polis berjaya menahan seorang suspek di Kota Bharu pada pertengahan Oktober. Rosli mengucapkan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas tindakan pantas menjalankan siasatan berhubung insiden berkenaan.
Menurut Rosli, tindakan pihak berkuasa penting bagi memberikan keyakinan kepada masyarakat bahawa kejadian yang menyentuh sensitiviti agama ditangani melalui saluran sewajarnya, tanpa membuka ruang kepada tindak balas yang boleh memburukkan keadaan.
“Tindakan pantas sebegini pastinya memberi satu kelegaan yang cukup besar kepada penduduk sini,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa kedudukan Tumpat sebagai daerah sempadan dan pintu masuk pelancong menjadikan keselamatan serta keharmonian masyarakatnya semakin penting. Sebarang tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan, katanya, perlu ditangani secara tegas dan berhemah.
Dalam konteks keselamatan sempadan, Rosli berkata usaha kerajaan Persekutuan memperkukuh kawalan bagi membendung jenayah rentas sempadan, termasuk penyeludupan, kemasukan pendatang asing tanpa izin dan ancaman keselamatan, turut membantu melindungi kesejahteraan penduduk.
Beliau juga membangkitkan peruntukan RM1.5 bilion yang menurut kenyataannya diluluskan kerajaan bagi pembinaan tembok konkrit keselamatan di sepanjang sempadan Sungai Golok, Rantau Panjang. Projek itu turut dikaitkan dengan fungsi tebatan banjir yang amat diperlukan penduduk kawasan berkenaan ketika musim tengkujuh.
Rosli berkata keharmonian masyarakat tidak boleh dianggap sesuatu yang terjamin selama-lamanya, sebaliknya memerlukan kewaspadaan dan tanggungjawab bersama bagi menolak sebarang bentuk provokasi yang boleh menggugat hubungan antara kaum dan agama.
“Kehidupan beragama adalah satu ciri ketaatan yang membentuk kekuatan negara. Peliharalah ia sebagai aset yang berharga untuk dipertahankan,” katanya.
BACA JUGA Rangkaian tanpa putus di terowong bawah tanah: MCMC pacu KL menjadi kota pintar berdaya tahan