Penyatuan ummah atau penyatuan pengundi? Sindir  profesor kepada Akmal

Adakah kerjasama Umno dan Pas benar-benar menyatukan ummah atau sekadar menghimpunkan penyokong kedua-dua parti demi kemenangan pilihan raya?

Persoalan itu dibangkitkan ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN), Prof Dr Mohd Tajuddin Mohd Rasdi, susulan laungan agenda penyatuan ummah oleh Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, selepas Barisan Nasional (BN) dan Pas mencapai kesepakatan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Memetik laporan The Malaysia Press, Mohd Tajuddin menyifatkan kerjasama berkenaan lebih tepat dilihat sebagai penyatuan sokongan politik dalam kalangan orang Melayu yang menyokong Umno dan Pas, bukannya penyatuan ummah dalam pengertian yang lebih luas.

Beliau turut mempersoalkan pengulangan slogan berkenaan setiap kali kedua-dua parti mencapai persefahaman politik, sedangkan konsep penyatuan ummah tidak seharusnya disempitkan kepada kerjasama pilihan raya.

“Berapa puluh kali hendak bercakap mengenai penyatuan ummah? Saya ingat sudah ada penyatuan ummah di Johor, kemudian di Negeri Sembilan. Sekarang, apa pula penyatuan ummah di Melaka?

“Pada pandangan saya, ini bukan penyatuan ummah. Ini penyatuan orang Melayu yang menyokong Pas dan Umno,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) pada Khamis.

Kenyataan itu menyusul selepas Akmal menyambut baik persefahaman BN dan Pas bagi menghadapi PRN Melaka, selain menyifatkan negeri itu sebagai medan meneruskan agenda penyatuan ummah.

Pada 21 Oktober lalu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengesahkan rundingan dengan Pas dimuktamadkan dengan BN akan bertanding di 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Pas bersama rakan sekutunya bertanding di baki tujuh kerusi.

PRN Melaka dijadual berlangsung pada 14 November ini.

Sehari kemudian, Akmal merakamkan penghargaan kepada Zahid dan Presiden Pas atas persefahaman yang dicapai, yang disifatkannya sebagai langkah merealisasikan agenda penyatuan ummah.

Bagaimanapun, Mohd Tajuddin menegaskan istilah ummah perlu dibezakan daripada penyatuan politik yang dibentuk berdasarkan kepentingan parti dan strategi memenangi pilihan raya.

Katanya, penyatuan ummah sepatutnya berteraskan Islam dan sunah Rasulullah SAW, bukannya ditentukan semata-mata oleh hubungan antara Umno dengan Pas atau persetujuan pembahagian kerusi.

“Kalau hendak menggunakan perkataan ummah, kita perlu merujuk kepada Islam dan sunah Rasulullah. Ia bukan bersandarkan kepada Umno atau Pas.

“Parti politik mempunyai agenda sendiri untuk menang undi. Itu bukan penyatuan ummah,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa sokongan majoriti pengundi tidak semestinya membuktikan sesuatu perjuangan atau pendirian politik itu benar.

“Orang ramai mengundi kamu tidak semestinya bermakna kamu benar. Majoriti tidak semestinya mengiktiraf kebenaran,” katanya.

Teguran itu meletakkan persoalan lebih besar terhadap penggunaan slogan penyatuan ummah dalam politik: adakah kesepakatan antara parti benar-benar mencerminkan perpaduan umat Islam, atau sekadar strategi menghimpunkan undi bagi menghadapi pilihan raya?

Bagi Mohd Tajuddin, kerjasama politik antara Umno dan Pas tidak boleh secara automatik dianggap sebagai penyatuan ummah, apatah lagi apabila kepentingan memenangi pilihan raya menjadi antara matlamat utama persefahaman tersebut.

BACA JUGA ‘Play victim’ siap ada lagu latar ala ‘Bersamamu’, KP Umno tampil berkopiah jual motor bayar saman RM300,000