Polis giat buru lelaki menyamar pengawal peribadi Raja Muda Selangor

Polis kini sedang giat mengesan seorang lelaki yang didakwa menyamar sebagai pengawal peribadi sulit Raja Muda Selangor dan melakukan penipuan mencecah RM700,000.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, anggaran pemerdayaan yang dilakukan lelaki lingkungan 40-an itu diperoleh berdasarkan sembilan laporan polis terhadap suspek.

Shazeli berkata, suspek dipercayai mengambil kesempatan menggunakan nama serta imej yang mempunyai kaitan dengan keluarga diraja bagi memperdaya mangsa.

“Semakan mendapati suspek utama berusia 40 tahun itu bukan kakitangan istana atau mempunyai sebarang kaitan dengan Institusi Diraja Selangor.

“Mengikut laporan polis, kegiatan penipuan ini dilakukan sejak 2024,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, menurut Sinar Harian.

Menurut beliau, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Bagaimanapun, polis menerima sebanyak 19 laporan yang mempunyai kaitan dengan suspek termasuk beberapa laporan yang direkodkan di kontinjen polis lain.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Norizuana Saidin di talian 014-7175567,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Shazeli berkata, polis turut menahan tunang kepada suspek bagi membantu siasatan.

Wanita berusia lingkungan 30-an yang merupakan seorang pengusaha salon itu kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Kita juga sedang mengesan beberapa individu lain yang dipercayai membantu kegiatan suspek lelaki itu,” katanya.

Sebelum ini, polis membuka siasatan selepas menerima laporan daripada Pejabat Kawalan Keselamatan Sultan Selangor di Istana Mestika pada 15 Oktober lalu berhubung dakwaan penyalahgunaan gambar Raja Muda Selangor.