Profesor G70 sokong larangan Waze, gesa audit bebas aplikasi TuJu
Pertubuhan Profesor G70 (PPG70) menyokong keputusan kerajaan melarang penggunaan aplikasi navigasi Waze dalam urusan rasmi penjawat awam, namun menggesa supaya aplikasi tempatan TuJu menjalani audit keselamatan siber dan privasi secara bebas sebelum dijadikan alternatif utama.
Pertubuhan itu berpandangan langkah kerajaan memperkukuh keselamatan siber dan melindungi kedaulatan data negara wajar disokong, terutama ketika maklumat lokasi dan pergerakan pengguna semakin menjadi aset strategik negara.
Bagaimanapun, PPG70 menegaskan keselamatan data tidak seharusnya dilihat sekadar usaha menyekat penggunaan aplikasi asing, sebaliknya perlu disertai jaminan bahawa alternatif tempatan benar-benar selamat, stabil dan mendapat keyakinan pengguna.
Sehubungan itu, pertubuhan berkenaan mengemukakan lima saranan utama kepada kerajaan bagi memastikan dasar keselamatan data negara dilaksanakan secara telus, menyeluruh dan berkesan.
Pertama, PPG70 mencadangkan kerajaan menerbitkan ringkasan asas penilaian risiko keselamatan yang menjadi sandaran kepada keputusan melarang penggunaan Waze bagi urusan rasmi.
Menurut pertubuhan itu, ketelusan berhubung penilaian risiko penting bagi membolehkan rakyat memahami rasional keputusan kerajaan, selain mengelakkan kekeliruan mengenai tahap keselamatan aplikasi navigasi berkenaan.
Kedua, PPG70 mahu semua aplikasi asing yang mengumpul data lokasi pengguna dinilai menggunakan piawaian keselamatan yang seragam supaya dasar perlindungan data negara dilaksanakan secara konsisten.
Ketiga, pertubuhan itu menggesa supaya aplikasi navigasi tempatan TuJu menjalani audit keselamatan siber dan privasi secara bebas sebelum dijadikan pilihan utama dalam urusan rasmi kerajaan.
Saranan tersebut dilihat penting bagi memastikan pembangunan teknologi tempatan bukan sahaja mendapat sokongan dasar kerajaan, tetapi turut memenuhi standard keselamatan dan kebolehpercayaan yang tinggi.
Keempat, PPG70 meminta kerajaan memperjelas aspek tadbir urus data aplikasi TuJu, termasuk bagaimana maklumat pengguna dikumpulkan, disimpan, diurus dan dilindungi daripada risiko penyalahgunaan.
Kelima, pertubuhan itu mencadangkan garis panduan pelaksanaan yang jelas dan seragam disediakan kepada semua jabatan kerajaan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan penjawat awam.
Dalam masa sama, PPG70 menawarkan kepakaran ahlinya melalui penubuhan panel penilai akademik bebas bagi membantu kerajaan serta pembangun aplikasi tempatan meningkatkan tahap keselamatan, ketepatan dan kebolehpercayaan teknologi berkenaan.
Pendirian PPG70 itu turut memperlihatkan sokongan terhadap usaha kerajaan membangunkan keupayaan teknologi sendiri, namun menekankan bahawa keyakinan pengguna perlu dibina melalui prestasi aplikasi dan jaminan keselamatan data.
Isu penggunaan Waze dan TuJu sebelum ini mendapat perhatian apabila kerajaan menggalakkan penggunaan aplikasi navigasi tempatan, manakala Menteri Digital, Gobind Singh Deo menjelaskan bahawa TuJu masih dalam proses penambahbaikan dan pengguna awam mempunyai pilihan untuk menggunakan aplikasi lain.
PPG70 menegaskan bahawa kejayaan agenda kedaulatan digital negara akhirnya bergantung kepada kemampuan teknologi tempatan menawarkan perkhidmatan yang setanding atau lebih baik daripada aplikasi antarabangsa.
“Kemandirian digital terbina apabila sistem tempatan mampu bersaing dari segi kebolehpercayaan, ketepatan dan perlindungan data,” menurut pertubuhan itu dalam kenyataan bertarikh 23 Oktober 2026.
Keselamatan negara dan rakyat tidak boleh dikompromi meskipun keputusan menghentikan penggunaan aplikasi navigasi Waze mungkin menyusahkan sebahagian pengguna, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata kedaulatan negara dan keselamatan maklumat peribadi rakyat mesti dipertahankan, sekali gus menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dalam menangani sebarang risiko yang boleh mengancam keselamatan negara.
“Saya mohon maaf andai keputusan pengharaman aplikasi navigasi milik rejim Israel ini menyusahkan rakyat.
“Namun, soal keselamatan negara dan rakyat tidak boleh dikompromi sama sekali kerana kedaulatan negara serta keselamatan maklumat peribadi rakyat mesti kita pertahankan,” katanya.
Kerajaan pada 21 Oktober mengarahkan semua penjawat awam menghentikan penggunaan Waze bagi urusan rasmi, susulan kebimbangan terhadap keselamatan maklumat kerajaan dan data peribadi pengguna.
Keputusan itu mengambil kira kedudukan Waze Mobile Ltd yang diperbadankan dan beroperasi di bawah undang-undang Israel. Arahan berkenaan dibuat susulan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara yang dipengerusikan Anwar pada 20 Oktober.
Anwar turut menyarankan rakyat Malaysia beralih kepada aplikasi navigasi tempatan seperti TuJu, yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia, sebagai alternatif.
Bagaimanapun, Menteri Digital Gobind Singh Deo menjelaskan larangan itu hanya terpakai kepada penjawat awam ketika menjalankan urusan rasmi kerajaan dan tidak meliputi orang awam.
Dalam perkembangan berkaitan, Waze menolak dakwaan bahawa aplikasinya mengumpul maklumat sensitif kerajaan atau membolehkan data peribadi pengguna dieksploitasi, sambil menegaskan bahawa ia mematuhi dasar privasi dan piawaian perlindungan data antarabangsa.
Pendirian kerajaan itu mencerminkan keutamaan terhadap keselamatan siber, perlindungan data dan kedaulatan negara dalam penggunaan teknologi digital, dengan Anwar menegaskan tiada ruang boleh dibiarkan terbuka kepada ancaman yang berpotensi menjejaskan kepentingan rakyat.
BACA JUGA Keselamatan negara tiada kompromi, Anwar mohon maaf jika larangan Waze susahkan rakyat