Rafizi fail saman terhadap Ramanan

Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mengarahkan pasukan peguamnya memulakan proses saman terhadap Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan susulan kenyataan yang dibuat dalam sidang media semalam.

Rafizi berkata, beliau telah berbincang dengan pasukan peguamnya selepas meneliti kenyataan Ramanan yang didakwa mengandungi pelbagai tohmahan terhadap dirinya, termasuk tuduhan terbabit dalam rasuah.

Beliau berkata, pasukan peguamnya berpandangan terdapat asas kukuh untuk memulakan tindakan saman terhadap Ramanan berikutan kenyataan tersebut.

“Saya telah berbincang dengan pasukan peguam saya dan mereka berpendapat ada asas kukuh untuk memulakan tindakan saman terhadap R Ramanan, kerana kenyataan-kenyataan dalam sidang media itu telah melanggar garis-garis yang ditetapkan oleh undang-undang fitnah di negara ini.

“Oleh itu, saya telah mengarahkan peguam-peguam saya untuk memulakan proses saman terhadap Ramanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mendakwa tindakan saman itu wajar memandangkan Ramanan terus mengelak daripada menjawab beberapa tuduhan berkaitan dirinya dan rasuah.

“Jika R Ramanan enggan mengambil tindakan saman terhadap saya, akibat dari sidang media beliau semalam, ia membuka jalan untuk saya mengheret beliau ke mahkamah susulan tohmahan-tohmahan yang dibuat terhadap saya,” katanya.

Ramanan dalam sidang medianya semalam menyifatkan Rafizi sebagai pembohong bersiri kerana sering mengeluarkan kenyataan tidak benar dan memutar belitkan keadaan.

Ramanan berkata apa yang paling menjengkelkannya adalah apabila Rafizi kalah saman di mahkamah, beliau akan membuat kutipan awam meminta wang daripada rakyat.

Ramanan turut mendesak Rafizi Ramli menjawab skandal membabitkan bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, khususnya berhubung isu penyalahgunaan kuasa membabitkan Yayasan Hijau Malaysia.