Rakyat kongsi perbandingan wajah KK dulu & kini, puji kerja barisan menteri zaman PMX
Sejak semalam berlegar di media sosial perkembangan terkini klinik-klinik kesihatan di seluruh negara selepas melalui proses naik taraf, sekali gus mencetuskan perbualan mengenai perubahan kemudahan asas rakyat di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Di Threads, ramai yang mula membuat perbandingan keadaan klinik kesihatan sebelum dinaik taraf dengan wajah baharu fasiliti berkenaan yang kini tampil lebih moden dan selesa.
Apa yang menarik perhatian, perkongsian itu mencetuskan reaksi berantai apabila netizen mula memuat naik gambar klinik kesihatan di kawasan masing-masing, sekali gus memperlihatkan perubahan fasiliti kesihatan yang menjadi tumpuan rakyat.
Antara yang menjadi perhatian ialah Klinik Kesihatan Manjoi yang menurut seorang pengguna Threads, pembinaannya yang terbengkala sejak era Perikatan Nasional (PN) pada 2020, akhirnya disiapkan oleh Kerajaan Madani pimpina PMX.
“Klinik Kesihatan Manjoi 5 tingkat. Mula zaman BN (2018), terbengkalai zaman PN (2020), kerajaan MADANI ambil alih selesaikan baki isu. Pantau rapat sampai siap sepenuhnya.
“Terima kasih semua, tapi kredit terbesar perlulah diberikan kepada yang berjaya menyiapkannya iaitu MADANI,” tulis pengguna Threads, @zarifzulkarnain.
Selain Manjoi, gambar Klinik Kesihatan Semenyih turut dikongsikan bagi menunjukkan perbezaan fasiliti berkenaan berbanding sebelumnya.
Seorang pengguna media sosial menyifatkan perubahan itu sebagai sesuatu yang ketara.
“Klinik kesihatan Semenyih dulu dan kini. Tak tahu lah
ni projek zaman siapa. Tapi yang pasti zaman PMX klinik dah bertukar,” tulis @aqilah.azlann.
Klinik Kesihatan Segamat turut menjadi antara lokasi yang dikongsikan menerusi gambar yang memaparkan bangunan baharu dengan reka bentuk lebih moden.
“Major upgrade for KK Segamat hehehe,” tulis @izzahazizah.
Dalam pada itu, perkongsian mengenai Klinik Kesihatan Skudai Baharu turut menarik perhatian apabila seorang pengguna menceritakan kemudahan yang tersedia di fasiliti berkenaan.
Menurutnya, klinik itu dibangunkan di lokasi baharu dengan kawasan parkir yang luas serta laluan pejalan kaki berbumbung.
“Klinik Kesihatan Seri Orkid, dia upgrade dan bina dekat lot baru jadi KK Skudai Baru. Parking banyak, laluan pejalan kaki berbumbung, very wheelchair friendly. Dalam jangan cakap la, sejuk ya amat! Suka sangat!! Terima kasih PMX,” tulis @chamikely.
Perkongsian lain turut memaparkan perubahan Klinik Kesihatan Manjoi serta Klinik Desa Chenderiang di Perak, dengan pengguna berkongsi gambar keadaan fasiliti kesihatan berkenaan.
Selain kemudahan kesihatan, seorang pengguna turut menyentuh perkembangan projek penambahbaikan sekolah daif di Sabah yang menurutnya sedang melalui proses tender dan pembinaan.
“Sekarang & few years recently tengah tender and construct project penambahbaikan banyak sekolah daif dekat Sabah after berdekad disisihkan, Alhamdulillah,” tulis @izzulhzq.
Rangkaian perkongsian itu menunjukkan isu penambahbaikan kemudahan asas terus mendapat perhatian kerajaan, khususnya apabila melibatkan fasiliti yang digunakan rakyat untuk mendapatkan rawatan dan perkhidmatan awam.