Waze pula tampil jawab dakwaan terhadap aplikasinya, nafi kumpul maklumat sensitif kerajaan Malaysia
Aplikasi navigasi Waze menolak dakwaan bahawa platform itu mengumpul maklumat sensitif kerajaan Malaysia atau membenarkan data peribadi pengguna dieksploitasi, petik Channel News Asia.
Penafian itu dibuat pada semalam, sehari selepas Kerajaan Malaysia melarang penjawat awam menggunakan aplikasi berkenaan serta menggesa rakyat menyahpasangnya.
Dalam kenyataan kepada Reuters, pihak Waze menyifatkan dakwaan berhubung pengumpulan maklumat sensitif kerajaan dan penyalahgunaan data peribadi sebagai tidak benar sama sekali.
Jurucakap syarikat itu berkata, “Waze beroperasi berdasarkan dasar privasi yang ketat bagi melindungi data pengguna serta mematuhi piawaian perlindungan data di bawah undang-undang antarabangsa.”
Perkembangan itu menyusul selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengarahkan larangan serta-merta terhadap penggunaan Waze oleh penjawat awam.
Pejabat Perdana Menteri dalam memaklumkan bahawa larangan penggunaan aplikasi itu bertujuan melindungi maklumat kerajaan dan data peribadi pengguna daripada risiko penyalahgunaan oleh rejim Israel.
Sebelum ini, Anwar berkata kerajaan sedang meneliti kemungkinan risiko keselamatan yang timbul daripada penggunaan Waze, sambil menyatakan aplikasi berkenaan tertakluk kepada undang-undang Israel.