Anwar hubungi KPN, siasat tanpa kompromi kematian Noorizwan

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau telah menghubungi Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Ismail bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung kes kematian Allahyarham Noorizwan Zulkefly, selain menegaskan siasatan perlu dijalankan secara menyeluruh dan telus.

Perdana Menteri berkata beliau turut meminta supaya perkembangan siasatan dimaklumkan kepada keluarga Allahyarham yang kini menantikan jawapan berhubung kes berkenaan.

“Saya juga telah berhubung dengan Ketua Polis Negara bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai kes ini dan menegaskan supaya siasatan dijalankan secara menyeluruh, telus dan tanpa kompromi, serta perkembangan siasatan dimaklumkan kepada keluarga,” katanya dalam kenyataan.

Anwar berkata beliau mengambil maklum kehadiran keluarga Allahyarham yang menyerahkan surat rayuan kepadanya hari ini, sambil menyatakan rasa dukacita atas pemergian Noorizwan.

Beliau turut memahami kesedihan dan keresahan keluarga yang masih menantikan jawapan berhubung kejadian yang menimpa Allahyarham.

Bagaimanapun, Anwar berkata beliau dijadualkan menghadiri beberapa acara di Melaka hari ini dan tidak dapat menerima sendiri keluarga berkenaan.

Sehubungan itu, beliau telah mewakilkan pegawainya untuk menerima surat rayuan berkenaan serta mendengar sendiri perkara yang dibangkitkan oleh keluarga Allahyarham.

Anwar menegaskan bahawa siasatan perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan telus, manakala perkembangan kes hendaklah disampaikan kepada keluarga bagi memastikan mereka mendapat maklumat mengenai proses siasatan.

Kenyataan itu hadir ketika keluarga Allahyarham mengemukakan rayuan kepada Perdana Menteri, dengan harapan kes berkenaan mendapat perhatian dan siasatan sewajarnya.

BACA JUGA Bekas pegawai kanan tentera dedah risiko, sokong ketegasan kerajaan isu Waze