Duduk Pasir Mas, minta kerusi roda dari Ahli Parlimen Bukit Mertajam
Tular seorang anak yang memerlukan kerusi roda untuk ibunya yang uzur terpaksa mendapatkan bantuan daripada Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Pulau Pinang, selepas permohonannya kepada pihak berkaitan di Kelantan didakwa tidak mendapat jawapan.
Kisah itu dikongsikan seorang petugas pusat khidmat yang diwakili Ahli Parlimen DAP, Steven Sim, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai peranan wakil rakyat dalam membantu penduduk yang berdepan kesusahan.
Lebih mengejutkan, lelaki itu dan ibunya menetap di Pasir Mas, Kelantan, bukannya di Bukit Mertajam.
Menurut perkongsian tersebut, lelaki berkenaan sudah memohon bantuan daripada pihak zakat Kelantan dan wakil rakyat di kawasannya, tetapi tidak menerima maklum balas.
Order Shopee, hantar terus ke Kelantan
Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Mertajam kemudian mengambil tindakan memesan kerusi roda menerusi Shopee dan mengatur penghantaran terus ke rumah lelaki itu di Pasir Mas.
Tindakan itu membolehkan keperluan keluarga berkenaan dibantu tanpa mengira jarak, meskipun penerima bukan pengundi di kawasan parlimen tersebut.
Kisah ini menimbulkan persoalan tentang mengapa seorang anak terpaksa mencari bantuan daripada wakil rakyat di negeri lain bagi mendapatkan kemudahan untuk ibunya yang uzur.
Bagi rakyat yang berdepan kesusahan, tindakan pantas dan penyelesaian praktikal boleh membawa perbezaan besar. Dalam kes ini, urusan mendapatkan kerusi roda dilakukan melalui pembelian dalam talian dan penghantaran terus ke rumah.
Untuk rekod, kawasan parlimen Pasir Mas diwakili, Ahmad Fadhli Shaari daripada Pas.
BACA JUGA Dana syiar Islam naik RM3.1 bilion, 40,000 petugas masjid turut dibela