JIPS : Tiada kecederaan dalaman, tetapi ada kesan luka luaran
Seorang lelaki Melayu berusia 42 tahun yang ditahan polis di Cheras meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Kuala Lumpur, pada 1 Oktober lalu, dengan hasil bedah siasat mendapati terdapat beberapa kecederaan pada bahagian luar tubuhnya.
Bagaimanapun, punca kematian lelaki itu masih belum dimuktamadkan kerana pihak berkuasa sedang menunggu keputusan analisis makmal, menurut kenyataan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman pada 24 Oktober.
Lelaki itu ditangkap pada 19 September bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Dia dirujuk ke HCTM pada 30 September untuk mendapatkan rawatan dan disahkan meninggal dunia pada jam 1.52 pagi keesokan harinya.
“Berdasarkan hasil bedah siasat yang dijalankan terhadap si mati mendapati tiada sebarang kecederaan organ dalaman. Namun terdapat beberapa kecederaan pada bahagian luaran,” menurut kenyataan Pengarah JIPS, CP Datuk Aida Abdul Hamid.
Punca kematian setakat ini dikategorikan sebagai pending laboratory analysis, iaitu menunggu keputusan analisis makmal.
JIPS memaklumkan Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) sedang menjalankan siasatan dari pelbagai sudut, termasuk merakam percakapan 78 saksi yang terdiri daripada pegawai polis, orang awam, pegawai perubatan, pakar forensik, wakil Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) dan dua orang waris si mati.
Kes itu turut dirujuk kepada Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) selaras dengan Seksyen 26 Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2022.
JIPS menegaskan komitmennya terhadap ketelusan dan kebertanggungjawaban serta memberi jaminan bahawa sebarang salah laku akan ditangani mengikut peraturan dan undang-undang.
BACA JUGA Nak Malaysia jadi negara maju, tapi masih guna cara lama? Di situ perlu reformasi