Khalid Samad: Pas cuma ‘macai’ Umno? 21 kerusi untuk BN

Pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menjadi peluru baharu buat AMANAH untuk menyerang kerjasama Umno dan Pas, dengan Pengarah Komunikasinya, Khalid Samad, mendakwa parti Islam itu kini sekadar menjadi pengikut kepada Umno dalam percaturan politik berkenaan.

Mengulas keputusan Umno/BN memberikan 21 kerusi kepada BN, manakala tujuh lagi kepada Pas dan rakan-rakannya, Khalid mempersoalkan hala tuju perjuangan Pas yang selama ini mendakwa berpegang kepada prinsip Islam serta menolak asabiah, kezaliman, rasuah dan salah guna kuasa.

“Pembahagian 21 kerusi kepada Umno/BN dan tujuh kerusi kepada Pas dan rakan-rakan Pas menjelaskan kedudukan sebenar Pas sebagai hanya sekadar budak suruhan dan macai Umno/BN dalam arena politik negara,” katanya dalam kenyataan media.

Menurut Khalid, kerjasama itu turut menimbulkan persoalan mengenai pendirian Pas terhadap prinsip yang selama ini menjadi sebahagian daripada identiti politiknya, khususnya apabila parti itu bekerjasama dengan Umno yang sering dikritiknya sebelum ini.

Secara sinis, Khalid membandingkan pendekatan politik kedua-dua parti dengan istilah “sakau” dan “pukau”. 

Beliau mendakwa Umno menggunakan kekayaan dan bantuan untuk mendapatkan sokongan rakyat, manakala Pas pula bergantung pada pengaruh agama bagi mengekalkan ketaatan penyokongnya.

Beliau menyifatkan politik “sakau” sebagai budaya yang membolehkan kekayaan negara dan bangsa digunakan untuk membeli sokongan, sehingga sebahagian rakyat berasa terhutang budi kepada pihak yang memberikan bantuan tanpa mempersoalkan dari mana kekayaan itu diperoleh.

Bagi Pas pula, Khalid mendakwa politik “pukau” menjadikan penyokongnya terlalu patuh kepada pemimpin sehingga sukar mempersoalkan keputusan parti, termasuk tindakan mempertahankan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang dikaitkan dengan pelbagai kontroversi.

“Halal boleh menjadi haram dan haram menjadi halal kerana akur dan patuh secara buta tuli kepada ‘ulama’ sanjungan mereka,” katanya.

Khalid turut menyindir keputusan BN menggunakan logo sendiri pada PRN Melaka, sedangkan Pas dan sekutunya akan bertanding menggunakan logo berasingan. Katanya, semua parti terbabit sepatutnya menggunakan satu logo sahaja kerana, pada pandangannya, mereka tidak lagi mempunyai perbezaan dari segi matlamat politik.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan Pakatan Harapan (PH) bergerak secara bersendirian pada PRN Melaka dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), bagi membolehkan gabungan itu menawarkan dasar, gagasan dan calon yang jelas tanpa kekeliruan akibat rundingan kerjasama dengan parti lain.

Menurutnya, pendekatan itu juga dapat memperkukuh identiti serta akauntabiliti PH, selain membolehkan gabungan berkenaan mengetengahkan pilihan politik yang berbeza daripada Umno dan Pas.

Khalid berkata masyarakat Melayu perlu diyakinkan bahawa terdapat pilihan lain selain bergantung kepada Umno atau Pas, dengan PH menawarkan pendekatan yang menurutnya memberi penekanan kepada tatakelola baik, kecekapan, keberkesanan pentadbiran dan kebajikan rakyat.

Beliau menegaskan ancaman terhadap orang Melayu dan Islam, pada pandangannya, bukan datang daripada PH atau DAP, sebaliknya daripada budaya politik yang didakwanya diamalkan Umno dan Pas.

“Tolak politik sakau dan pukau, tolak Umno dan Pas!” katanya, menggesa slogan itu dijadikan pendirian PH bagi menghadapi PRN Melaka dan PRU16.

BACA JUGA Dana syiar Islam naik RM3.1 bilion, 40,000 petugas masjid turut dibela