‘Abang nak apa sebenarnya?’ – Ketua Pemuda PN sindir Azmin, ungkit Bersatu adu kepada RoS
Belum reda kenyataan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang memberi amaran mengenai implikasi undang-undang terhadap Pas, kini Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Afnan Hamimi Taib Azamudden pula tampil dengan sindiran terhadap pemimpin itu.
Menerusi hantaran di Facebook malam ini, Afnan yang juga Ketua Pemuda Pas mempersoalkan pendirian Bersatu yang sebelum ini mengadu kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) kerana tidak dijemput menghadiri mesyuarat PN.
Namun, apabila jemputan diberikan untuk mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi PN malam ini, Bersatu pula membangkitkan kebimbangan mengenai implikasi perundangan.
“Bang. Tak berapa nak paham, abang nak apa sebenarnya.
“Sebelum ni, Bersatu lapor pada RoS, mengadu SUA PN tak panggil Bersatu ke mesyuarat PN,” sindirnya.
Afnan berkata, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebelum ini meminta penjelasan bertulis mengenai keabsahan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.
Menurutnya, perkara itu susulan dakwaan empat Ahli Parlimen Bersatu yang digantung bahawa korum MPT parti berkenaan tidak mencukupi.
Bagaimanapun, katanya, ketiadaan penjelasan bertulis menyebabkan PN tidak menjemput Bersatu menghadiri mesyuarat ketika itu kerana bimbang timbul implikasi perundangan.
“PN nak masuk PRN N9 waktu itu,” katanya merujuk Pilihan Raya Negeri Sembilan.
Aduan
Afnan kemudian mengungkit tindakan Bersatu membuat aduan kepada RoS sehingga membawa kepada pertikaian pendaftaran PN.
Katanya, selepas Mahkamah Tinggi memberikan perintah yang membolehkan PN meneruskan aktiviti sementara menunggu perkembangan prosiding mahkamah, Takiyuddin memanggil mesyuarat tergempar dan turut menjemput Bersatu.
Namun, beliau menyindir apabila Bersatu pula menggunakan alasan kebimbangan perundangan untuk mempersoalkan mesyuarat tersebut.
“Masa PN ragu-ragu dengan Bersatu, tak jemput hadir mesyuarat, Bersatu report pada RoS.
“Hari ni, bila dijemput ke mesyuarat PN, Bersatu pulak ragu-ragu. Kononnya bimbang kalau hadir, ada implikasi undang-undang.
“Orang ragu-ragu kat dia, tak boleh. Dia ragu-ragu kat orang, boleh.
“Abang nak apa sebenarnya? Tanya ja Bang. Jangan la report,” peril Afnan lagi.
Terdahulu, Azmin menerusi kenyataan media hari ini mempersoalkan tindakan Takiyuddin memanggil mesyuarat tergempar PN ketika pertikaian status pendaftaran gabungan itu masih melalui proses mahkamah.
Azmin turut mengingatkan Pas dan sekutunya mengenai Seksyen 41 dan 42 Akta Pertubuhan 1966 yang menyentuh kesalahan menguruskan pertubuhan menyalahi undang-undang, termasuk hukuman penjara sehingga lima tahun jika disabitkan kesalahan.
Beliau bimbang perjalanan mesyuarat serta keputusan yang dibuat boleh mempunyai implikasi perundangan serius.
Untuk rekod, RoS membatalkan pendaftaran PN pada 20 Oktober lalu, sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penggantungan pelaksanaan pembatalan itu pada 22 Oktober sementara menunggu keputusan semakan kehakiman.
Bagaimanapun, RoS dan Menteri Dalam Negeri memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut pada kelmarin.
Perintah penggantungan Mahkamah Tinggi masih berkuat kuasa sementara menunggu keputusan lanjut mahkamah. Persoalan sama ada tindakan RoS membatalkan pendaftaran PN sah di sisi undang-undang pula belum diputuskan secara muktamad.
BACA JUGA PRN Melaka: Rombakan elit dan kebangkitan generasi muda – Siapa jamin kelangsungan parti politik?