Bimbang pengundi Cina gara-gara Pas mungkin punca MCA tak puas hati agihan kerusi BN

Kebimbangan kehilangan sokongan pengundi Cina akibat kerjasama Barisan Nasional (BN) dengan Pas mungkin menjadi antara faktor di sebalik ketidakpuasan hati MCA terhadap pengagihan kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Penganalisis politik, Dr Yusri Ibrahim berpendapat isu berkenaan mungkin bukan sekadar berpunca daripada jumlah dua kerusi yang diperuntukkan kepada MCA, sebaliknya turut melibatkan hala tuju kerjasama politik BN dengan Pas.

Menurutnya, kerjasama tersebut berkemungkinan menimbulkan kebimbangan dalam MCA kerana parti itu bergantung kepada sokongan masyarakat Cina, khususnya dalam usaha mengukuhkan semula pengaruh politiknya.

Selain itu, Dr Yusri turut membangkitkan kemungkinan MCA tidak berpuas hati kerana pengagihan kerusi BN didakwa dibuat tanpa melalui proses rundingan dan keputusan secara konsensus.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa enam faktor yang dikemukakannya hanyalah andaian berdasarkan perkembangan politik semasa dan bukannya alasan rasmi yang diberikan oleh MCA.

“Ramai bertanya kenapa MCA tidak puas hati agihan kerusi BN untuk PRN Melaka?

“Saya pun tak tahu, cuma pada andaian saya mungkin ada beberapa sebab,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Yusri turut mempersoalkan tindakan Umno yang begitu bersemangat membawa agenda penyatuan ummah bersama Pas, tetapi sanggup menyerahkan kerusi tradisi MCA kepada parti lain.

“Umno yang bersemangat untuk agenda penyatuan ummah dengan Pas. Kenapa Umno tidak berikan kerusi mereka kepada Pas, sebaliknya beri kerusi tradisi MCA,” soalnya.

Membantutkan momentum

Dalam pada itu, Dr Yusri berpendapat keputusan mengehadkan MCA kepada hanya dua kerusi juga berpotensi membantutkan momentum sokongan parti tersebut yang semakin meningkat dalam dua PRN terdahulu.

Beliau merujuk pencapaian MCA di Johor dan Negeri Sembilan sebagai petunjuk bahawa parti itu masih mempunyai ruang untuk meraih sokongan, termasuk di kawasan yang sebelum ini dikuasai DAP.

Malah, Dr Yusri berpandangan jumlah dua kerusi itu mungkin dianggap tidak seimbang oleh MCA memandangkan pengundi Cina di Melaka merangkumi sekitar 30 peratus daripada keseluruhan pengundi.

Dua kerusi yang diberikan kepada MCA hanya mewakili kira-kira tujuh peratus daripada keseluruhan 28 kerusi DUN Melaka, atau sembilan peratus daripada 21 kerusi yang ditandingi BN.

Sebagai perbandingan, beliau membangkitkan pengagihan tujuh kerusi kepada DAP oleh Pakatan Harapan (PH), selain penyertaan calon berketurunan Cina daripada PKR.

Sementara itu, kemelut dalaman BN semakin mendapat perhatian selepas Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong bersama beberapa pemimpin parti itu meninggalkan majlis pengumuman calon BN di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), malam tadi.

Ka Siong mendakwa pengumuman calon dibuat tanpa persetujuan kepimpinan tertinggi MCA, selain membantah tindakan menyerahkan kerusi yang pernah ditandingi partinya kepada parti lain tanpa rundingan sewajarnya.

Susulan itu, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam reaksinya memberi jaminan bahawa rundingan dengan MCA masih boleh diteruskan sebelum hari penamaan calon pada 31 Oktober ini.

BACA JUGA Pengerusi BN sendiri akui Wee Ka Siong terkejut, Zahid serah kemelut kepada Ab Rauf