5,000 Jualan Agro MADANI untuk rakyat, Bang Mat mahu manfaat merentasi kaum

Tidak kira Melayu, Cina, India atau apa jua latar belakang, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mahu manfaat Program Jualan Agro MADANI sampai kepada seluruh rakyat tanpa mengira kaum.

Komitmen itu ditegaskan beliau ketika berkongsi kemeriahan program berkenaan di SJKC Keh Seng, Bukit Baru, Melaka, yang mendapat sambutan masyarakat setempat untuk membeli barangan keperluan pada harga berpatutan.

Lebih mesra dikenali sebagai Bang Mat, beliau berkata program itu bukan sahaja bertujuan meringankan beban kos sara hidup, malah membuka peluang kepada petani, penternak dan usahawan tempatan memasarkan hasil keluaran mereka secara terus kepada pengguna.

“Bang Mat gembira melihat sambutan orang ramai yang mengambil peluang mendapatkan barangan keperluan harian pada harga berpatutan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Menurut beliau, Kerajaan MADANI akan meneruskan usaha memperluas manfaat tersebut melalui pelaksanaan 5,000 program Jualan Agro MADANI di seluruh negara seperti diumumkan dalam Belanjawan 2027.

“Bang Mat mahu manfaat program ini sampai terus kepada rakyat tanpa mengira kaum dan latar belakang,” tegasnya.

Menerusi Belanjawan 2027 yang dibentangkan pada 9 Oktober lalu, kerajaan menetapkan sasaran 5,000 penganjuran Jualan Agro MADANI dengan menawarkan hasil pertanian segar termasuk ikan, ayam, sayur-sayuran dan buah-buahan pada harga sehingga 30 peratus lebih murah.

Sebanyak RM50 juta diperuntukkan bagi program itu, sebagai sebahagian daripada peruntukan keseluruhan RM750 juta untuk melaksanakan 35,000 siri Jualan RAHMAH MADANI dan Jualan Agro MADANI pada tahun depan.

Mengeratkan hubungan

Sementara itu, program di SJKC Keh Seng turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan termasuk persembahan tarian naga, pertandingan dam aji dan jamuan rakyat.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan penganjuran tersebut turut menjadi platform memperluas pasaran hasil pertanian tempatan, selain mengeratkan hubungan antara agensi kerajaan dengan masyarakat.

Program berkenaan turut dihadiri Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus.

Melalui pendekatan jualan terus itu, pengguna berpeluang mendapatkan barangan pada harga berpatutan, manakala pengeluar tempatan memperoleh saluran tambahan untuk memasarkan hasil pertanian dan produk agromakanan mereka.

BACA JUGA Bukan tumpang nama bapa, calon muda PH mahu buktikan kemampuan sendiri