Akmal minta ‘buruk katakan buruk’, netizen tegur ‘buruknya akhlak’ penyokong BN selepas calon PH diejek
Dilihat berang dengan satu laporan berita mengenai kewibawaannya, Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang juga penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau mulai melatah.
Mengulas laporan bertajuk “Kewibawaan Akmal dipersoal, ramai mula sokong Ayu di Merlimau”, Akmal berkata, “Dari dengar komen fake akaun yang tak tahu mana asalnya lebih baik dengar sendiri dari orang Merlimau”.
Dia lantas mengajak pengundi Merlimau menilai kepimpinannya ketika dilaporkan sokongan terhadap calon Pakatan Harapan (PH), Rahayu Hamzah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka melonjak.
“Kepada semua warga DUN Merlimau, komen anda tentang kepimpinan saya di Merlimau amat dialu-alukan.
“Buruk katakan buruk. Kalau baik katakan baik. Baru real suara orang Merlimau,” tulisnya dalam hantaran Facebook malam ini.
Bagaimanapun, di ruangan komen hantaran tersebut, seorang pengguna dikenali sebagai Dzul Atan dilihat mengejek Rahayu atau lebih dikenali sebagai Ayu Hamzah, dengan menulis, “Ayu, sleeping… Ayu, sleeping.”
Komen itu turut menerima lebih 200 reaksi ketawa setakat ini sebelum seorang lagi pengguna Facebook tampil menegur tindakan berkenaan.
Pengguna dikenali sebagai Saya Widya tidak bersetuju dengan ejekan tersebut, malah menyifatkannya sebagai perbuatan tidak matang.
“Buruknya akhlak. Dah tua-tua pun mengejek macam budak-budak. Kesian,” tulisnya.
Beliau turut menyindir sikap penyokong Akmal itu sambil membangkitkan persoalan mengenai gambar profilnya yang didakwa mempunyai kaitan dengan isu yang sedang tular.
Untuk rekod, Akmal diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi mempertahankan DUN Merlimau, manakala Rahayu yang mewakili Parti Amanah Negara (AMANAH) dipertaruhkan PH untuk mencabar kerusi sama.
Pada PRN Melaka 2021, Akmal memenangi DUN Merlimau dengan majoriti 3,248 undi.
Persaingan kedua-dua calon itu dijangka mendapat perhatian menjelang hari pengundian pada 14 November ini, dengan penamaan calon dijadual berlangsung pada 31 Oktober ini.
BACA JUGA Bukan tumpang nama bapa, calon muda PH mahu buktikan kemampuan sendiri