Anwar ucap tahniah kepada Lula atas kemenangan bersejarah di Brazil

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva atas kemenangan bersejarahnya dalam pilihan raya negara itu.

Anwar menyifatkan kemenangan itu sebagai hasil persaingan sengit yang memberikan mandat baharu kepada Lula untuk terus memimpin Brazil.

Beliau turut memuji komitmen Lula terhadap keadilan sosial, usaha mengurangkan kemiskinan serta perjuangannya memastikan suara negara-negara membangun didengari di peringkat antarabangsa.

Menurut Anwar, komitmen berterusan Lula dalam memperjuangkan keadilan sosial telah meraih penghormatan bukan sahaja di Brazil, malah di peringkat antarabangsa.

“Komitmen beliau sepanjang hayat terhadap keadilan sosial, usaha membasmi kemiskinan serta memastikan suara negara-negara membangun didengari telah meraih penghormatan masyarakat antarabangsa, jauh melangkaui Brazil.

“Saya sentiasa menghargai persahabatan kami dan berkongsi keyakinan beliau bahawa negara-negara Selatan Global (Global South) perlu mempunyai suara yang lebih lantang dalam membentuk tatanan antarabangsa yang lebih adil,” katanya di Facebook beliau hari ini.

Anwar berkata, Malaysia berharap untuk terus bekerjasama rapat dengan Brazil di bawah kepimpinan Lula, khususnya dalam memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan.